FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: "Kami sanggup 'korek' tabung simpanan semata-mata untuk membeli 300 Jalur Gemilang. Semua kami tetap bersemangat untuk meraikan Hari Kebangsaan biarpun negara masih berdepan pandemik Covid-19," ujar Pengerusi Taman Seri Ayer Hitam, Mohd Tahir Abd Hamid.

Katanya, seramai 250 penduduk dari 65 rumah di taman perumahan berkenaan bergotong royong memasang Jalur Gemilang sejak beberapa hari lalu.

Mohd Tahir berkata, pihaknya membeli 300 helai bendera menggunakan duit tabung yang sebelum itu dikutip secara bulanan sebanyak RM5 dari setiap penduduk.

"Kami sepakat untuk menggunakan duit tabungan itu bagi membeli Jalur Gemilang biarpun ia disimpan untuk kegunaan lebih mustahak.

"Banyak aktiviti bagi meraikan Hari Kebangsaan dirancang sebelum ini seperti larian merdeka dan mencari harta karun merdeka. Namun

ia terpaksa dibatalkan susulan pandemik covid-19 yang berlaku," katanya semalam.

Mohd Tahir berkata, usaha memasang Jalur Gemilang di sekitar taman sudah memadai dan ia dilakukan secara bergotong-royong termasuk mencari kayu di belukar berhampiran.

Sementara itu salah seorang penduduk, Amir Fairuz Musa, 42, berkata, kesepakatan penduduk bersatu hati memasang Jalur Gemilang di setiap rumah amat dihargai.

"Taman ini tidak besar seperti kebanyakan taman lain namun semangat ditunjukkan setiap penduduk amat membanggakan. Masing-masing bersatu hati untuk menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Ogos 2021 @ 3:29 PM