Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Operasi Pasar Besar Alor Setar di sini, dihentikan selama empat hari bermula hari ini selepas terdapat beberapa peniaga dan pekerja di pasar terbabit disahkan positif Covid-19.

Datuk Bandar Alor Setar Datuk Zaid Ahmad berkata, arahan penutupan pasar itu dikeluarkan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam.

"Berikutan terdapat peniaga dan pekerja yang positif baru-baru ini, Bahagian Perlesenan dan Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menguruskan agar saringan ujian COVID-19 dapat dilakukan dalam kalangan peniaga dan pekerja di situ.

"Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah ke pasar berkenaan untuk melakukan saringan ujian Covid-19 pagi semalam, namun tidak mendapat sambutan dan hanya beberapa orang sahaja yang melakukan saringan terbabit.

"Penutupan pasar ini dilakukan atas nasihat KKM bagi mengekang penularan Covid-19, penutupan selama empat hari juga adalah bagi membolehkan proses sanitasi di pasar besar itu dilakukan,"katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pengerusi Pasar Besar Alor Setar Mohd Fauzi Sharip pula berkata, pihaknya berharap rakan peniaga dan pekerja di pasar itu yang menjadi kontak rapat kepada individu yang positif Covid-19 dapat melakukan saringan ujian saringan Covid-19.

Menurutnya, sebagai peniaga dia memahami kesukaran kelangsungan lebih 400 peniaga dan pekerja di pasar itu yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19.

"Sekarang hanya kira-kira 300 peniaga dan pekerja sahaja yang masih beroperasi di situ, apabila diarahkan tutup, barang-barang akan rosak dan menyebabkan peniaga mengalami kerugian.

"Bagaimanapun, kami akur dan berharap ramai peniaga dan pekerja akan memberi kerjasama untuk lakukan saringan," katanya.

Mohd Fauzi juga berharap JKN akan memberi perhatian untuk memberi suntikan vaksin kepada peniaga dan pekerja di pasar berkenaan berikutan majoriti mereka belum divaksin.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 10:08 AM