GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Belum lagi reda dengan penutupan Pasar Awam Kepala Batas, kini Pasar Awam Tambun Indah di Simpang Ampat, di sini pula ditutup selepas tujuh kes positif Covid-19 dikesan di situ.

Ia menjadikan lapan pasar kendalian Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terpaksa diberhentikan operasi sementara ekoran wabak itu.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, pasar itu ditutup selama 10 hari bermula esok hingga 30 Ogos depan atau sehingga dimaklumkan semula bagi membolehkan aktiviti saringan dan kerja sanitasi dilakukan.

"Penutupan dibuat selepas terdapat tujuh kes positif Covid-19 dikesan membabitkan seorang peniaga, empat pekerja serta dua kakitangan MBSP.

"Justeru, peniaga dan pekerja lain di pasar itu hendaklah membuat ujian saringan dan hanya peniaga yang disahkan negatif sahaja akan dibenarkan berniaga semula mulai 31 Ogos atau pada tarikh lain sekiranya penutupan ini dilanjutkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Selatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu MBSP menutup tujuh pasar awam di Seberang Perai iaitu di Bagan Ajam; Bukit Mertajam; Chai Leng Park; Mak Mandin, Seberang Jaya, Taman Sri Rambai dan Kepala Batas akibat penularan Covid-19.

Mengulas mengenai situasi Pasar Awam Kepala Batas, Rozali berkata, sehingga kini terdapat 60 kes positif Covid-19 direkodkan membabitkan seramai 21 peniaga serta 39 pembantu perniagaan selepas ujian saringan dijalankan.

"Pasar awam itu yang ditutup pada Jumaat minggu lalu akan beroperasi semula Isnin depan.

"Bagaimanapun, hanya peniaga yang disahkan negatif serta tamat tempoh kuarantin sahaja dibenarkan untuk kembali beroperasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 8:17 PM