MAJLIS Bandaraya Seremban melakukan kerja nyah cemar di Pasar Besar Seremban pada 3 Mei. FOTO Adzlan Sidek
MAJLIS Bandaraya Seremban melakukan kerja nyah cemar di Pasar Besar Seremban pada 3 Mei. FOTO Adzlan Sidek
Mohd Amin Jalil


SERAMAI 770 peniaga dan pekerja Pasar Besar Seremban (PBS) termasuk premis berhampiran pasar itu disaring Pejabat Kesihatan Seremban bagi Covid-19, sejak Ahad lalu.

Ujian saringan itu dilakukan susulan tiga peniaga pasar itu disahkan positif wabak itu pada Sabtu, kerana mempunyai kontak dengan peniaga di Pasar Borong Selayang, Kuala Lumpur.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, proses menyaring itu dilakukan berperingkat dengan hari pertama membabitkan 145 orang, diikuti 194 orang pada hari kedua dan 196, semalam.

Katanya, sejumlah 235 orang disaring pada hari ini dengan mereka adalah kelompok yang diwajibkan menjalani ujian selain ada yang tampil sukarela.

"Setakat ini 770 orang sudah disaring dan pasar berkenaan masih ditutup sebagai langkah membendung penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan negeri akan menunggu keputusan ujian sebelum langkah selanjutnya diambil termasuk membenarkan pasar beroperasi semula mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri, Seremban, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, operasi pasar raya di Seremban dibenarkan buka lebih awal iaitu pada 8 pagi bagi membantu orang ramai mendapatkan bekalan bahan makanan mentah susulan penutupan PBS.

"Sebelum ini pasar raya dibuka mulai 10 pagi hingga 10 malam dan melalui kebenaran membuka lebih awal ini akan dapat memudahkan orang ramai mendapatkan bahan mentah diperlukan," katanya.

Khamis lalu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) Datin Dr Harlina Abdul Rashid dalam satu kenyataannya menjelaskan bahawa Pejabat Kesihatan Daerah Seremban akan menjalankan beberapa siri aktiviti saringan dalam kalangan peniaga di Pasar Besar Seremban yang mempunyai kaitan dengan kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 4:27 PM