Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 67 premis perniagaan dan perkilangan diarahkan tutup selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 19,406 anggota melaksanakan 93,420 pemeriksaan serta 'snap check' di seluruh negara, semalam.

"Pemeriksaan yang dilakukan meliputi 2,025 kilang, 15,573 premis perniagaan, 923 tapak pembinaan dan 367 asrama penempatan pekerja.

"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan semalam, seramai 222 individu dikompaun, manakala enam lagi individu direman kerana ingkar SOP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan lima kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara.

"Sebanyak 836 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Operasi Penawar atau SJR PKP (846 SJR), Operasi Benteng (PDRM/ATM/RELA) (45 SJR) dan Operasi Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9 SJR) dijalankan di seluruh negara, semalam," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 686 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara, semalam, menjadikan jumlah kumulatif individu pulang ke tanah air berjumlah 259,203 individu sejak 24 Julai 2020.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,159 individu masih dikuarantin di pusat kuarantin wajib, manakala 3,673 individu lagi dibawa ke hospital dan 246,371 individu dibenarkan pulang.

"Bagi Operasi Disinfeksi pula, sebanyak 215 operasi dijalankan yang dilakukan di 77 Zon Merah, satu Zon Jingga dan tiga Zon Kuning di seluruh negara, semalam.

"Operasi Disinfeksi dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 810 pemantauan harian terhadap 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada 643 peruncit, 135 pemborong dan 32 pengilang, semalam.

"Pihak KPDNHEP juga melakukan 1,848 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan semua premis berkenaan didapati mematuhi SOP.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan oleh penguat kuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 7:06 PM