GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sebanyak 61 premis perniagaan dan perkilangan diarahkan tutup selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 18,990 anggota melaksanakan 209,879 pemeriksaan serta 'snap check' di seluruh negara semalam.

"Pemeriksaan yang dilakukan meliputi 1,045 kilang, 15,908 premis perniagaan, 649 tapak pembinaan dan 170 asrama penempatan pekerja.

"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan semalam, seramai 219 individu dikompaun, manakala 71 lagi individu direman kerana ingkar SOP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, seramai 52 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan sebuah kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara.

"Sebanyak 836 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Operasi Penawar atau SJR PKP (846 SJR), Operasi Benteng (PDRM/ATM/RELA) (45 SJR) dan Operasi Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (sembilan SJR) dijalankan di seluruh negara semalam," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, sembilan lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula 2 sehingga 14 Ogos ini.

"Lima lokaliti di Kota Kinabalu, Sabah yang dikenakan PKPD ialah Lorong Kuala Laut Likas, Kampung Warisan, Kampung Darau, Menggatal, Kampung Rakyat Baru, Kuarters Pekerja Imbas Jaya dan Jalan Kionsom.

"Manakala dua lagi lokaliti di daerah Beaufort iaitu Kampung Melulugus dan Lorong 3, Kampung Klias Baru. Selain itu dua lokaliti di daerah Rompin, Pahang iaitu Bandar Melati dan Ladang Senang turut dikenakan PKPD," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 810 pemantauan harian terhadap 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada 619 peruncit, 156 pemborong dan 31 pengilang, semalam.

"Pihak KPDNHEP juga melakukan 1,852 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan semua premis berkenaan didapati mematuhi SOP.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan oleh penguat kuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 5:09 PM