FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Seramai 866 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 779 individu dikompaun manakala 87 lagi direman.

Katanya, antara kesalahan direkodkan ialah rangkuman kesalahan rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran dan makan minum di premis membabitkan 229 kesalahan.

"Selain itu kesalahan lain adalah seperti tidak memakai pelitup muka (154), tiada penjarakan fizikal (151), individu gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (88), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (81), membawa penumpang berlebihan (50), premis gagal patuhi arahan (10) dan sebanyak 103 lagi lain-lain kesalahan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan 88,238 pemeriksaan semalam.

"Ia membabitkan 4,406 Pasukan Pematuhan yang terdiri daripada 20,114 anggota bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP sepanjang PKP.

"Mengenai kawalan sempadan negara, Operasi Benteng (Op BENTENG) semalam berjaya menangkap 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan merampas tujuh kenderaan darat.

"Dalam operasi itu, sebanyak 143 buah bot/kapal turut dikesan di perairan negara melalui 11 aktiviti penglihatan," katanya.

Beliau berkata, Op Benteng yang membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain itu turut menjalankan 1,018 sekatan jalan raya (SJR) semalam.

"SJR berkenaan ialah Op Penawar (ATM, PDRM dan Rela) - 964 SJR; Op Benteng PDRM - 45 SJR dan Op BENTENG Aksem yang melaksanakan sembilan SJR," katanya.

Berkenaan operasi disinfeksi Covid-19, katanya, semalam, sebanyak 129 operasi itu dilaksanakan di seluruh negara yang merangkumi 60 zon merah, empat zon jingga dan empat zon kuning.

Katanya, operasi disinfeksi itu membabitkan 793 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 221 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 132 jentera JBPM.

"Secara kumulatifnya, sebanyak 29,516 operasi disinfeksi merangkumi 157 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020.

"Operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasaraya dan bangunan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 8:31 PM