Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 59 premis perniagaan dan perkilangan diarahkan tutup selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 18,953 anggota melaksanakan 79,940 pemeriksaan serta snap check di seluruh negara semalam.

"Pemeriksaan yang dilakukan membabitkan 1,761 kilang; 13,064 premis perniagaan, 448 tapak pembinaan dan 258 asrama penempatan pekerja.

"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan semalam, seramai 207 individu dikompaun, manakala 28 lagi individu direman kerana ingkar SOP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, dua pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan lima kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara semalam.

"Sebanyak 890 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Operasi Penawar atau SJR PKP (836), Operasi Benteng (PDRM/ATM/RELA) dengan 45 SJR dan Operasi Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebanyak sembilan SJR dijalankan di seluruh negara semalam," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 678 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara semalam menjadikan jumlah kumulatif individu pulang ke tanah air berjumlah 261,118 individu sejak 24 Julai tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,536 individu masih dikuarantin di pusat kuarantin wajib, manakala 3,703 individu lagi dibawa ke hospital dan 247,879 individu dibenarkan pulang.

"Bagi Operasi Disinfeksi pula, sebanyak 228 operasi dijalankan yang dilakukan di 92 zon merah, satu zon jingga dan satu zon kuning di seluruh negara semalam menjadikan jumlah keseluruhan operasi dijalankan adalah 35,481 operasi sejak 30 Mac tahun lalu.

"Operasi Disinfeksi dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 810 pemantauan harian terhadap 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada 618 peruncit, 160 pemborong dan 32 pengilang semalam.

"Pihak KPDNHEP juga melakukan 2,207 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan semua premis berkenaan didapati mematuhi SOP.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan oleh penguat kuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 6:08 PM