Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 66 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam pemeriksaan Op Pematuhan di seluruh negara semalam.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu membabitkan 16 kilang, 49 premis perniagaan dan satu tapak pembinaan.

"Pasukan Task Force Op Pematuhan melaksanakan 78,021 pemeriksaan dan snap check Covid-19 di seluruh negara dengan jumlah kekuatan anggota seramai 18,210 orang.

"Ia termasuk pemeriksaan ke atas 1,756 kilang, premis perniagaan (16,010), tapak pembinaan (776) dan 256 asrama penempatan pekerja.

"Kerajaan mempertingkatkan penguatkuasaan secara menyeluruh dari segi pemeriksaan ke atas kilang dan premis perniagaan kerana terlalu banyak pelanggaran arahan kerajaan dan SOP yang diwartakan," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai 577 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, dengan 542 individu dikenakan kompaun, manakala 35 lagi individu direman.

Menurutnya, seramai 4,318 pasukan pematuhan membabitkan 18,210 anggota memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKP dengan melakukan 78,021 pemeriksaan di seluruh negara semalam.

"Selain itu, seramai 29 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dan tujuh daripadanya diusir keluar melalui dua aktiviti pengusiran semalam.

"Dalam Op Benteng, terdapat 890 sekatan jalan raya (SJR) dilakukan iaitu Op Penawar/SJR PKP (846), Op Benteng PDRM/ATM/RELA (45) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).

Beliau berkata, sebanyak 181 operasi disinfeksi membabitkan 74 zon merah, dua zon jingga dan empat zon kuning turut dilaksanakan di seluruh negara semalam.

"Operasi disinfeksi semalam membabitkan 1,019 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 233 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 214 jentera JBPM.

"Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Menurutnya, seramai 634 individu pula tiba di semua pintu masuk antarabangsa negara dan menjalani kuarantin wajib pada semalam.

"Seramai 254,565 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lalu dan ditempatkan di 79 hotel dan 12 institut latihan awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 9,356 individu dikuarantin dan 241,711 individu dibenarkan pulang, manakala 3,498 lagi dibawa ke hospital," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 848 pemantauan harian terhadap 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada 665 peruncit, 151 pemborong dan 32 pengilang.

"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,925 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 1,920 premis mematuhi SOP, manakala empat lagi premis dikenakan kompaun dan satu premis diberi amaran.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan oleh penguatkuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 8:15 PM