GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seramai 348 individu dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Operasi Pematuhan SOP oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, menerusi operasi itu juga, PDRM menahan 27 individu atas kesalahan kesalahan sama dan mereka kini direman untuk siasatan lanjut.

"Pasukan Task Force Opersi Pematuhan menjalankan pemeriksaan ke atas 17,678 premis terdiri daripada kilang (1,387), premis perniagaan (15,580), tapak pembinaan (556) dan asrama penempatan pekerja (155), semalam.

"Daripada keseluruhan premis yang diperiksa, 34 premis diarahkan tutup operasi serta merta kerana didapati gagal mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) di kawasan sempadan negara, semalam.

Mengenai kuarantin wajib, beliau berkata seramai 888 individu direkodkan tiba di semua pintu masuk antarabangsa, semalam dan mereka kini menjalani kuarantin wajib di 83 hotel dan 11 institut latihan awam serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

Mengulas berhubung pemantauan khas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebanyak 800 pemantauan khas harian.

"Sebanyak 10 jenis bekalan barangan keperluan asas dipantau terdiri daripada peruncit (616), pemborong (152) dan pengilang (32).

"KPDNHEP juga melakukan 2,341 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, kesemua premis mematuhi SOP.

"Pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota penguatkuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 6:16 PM