GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 63 premis membabitkan kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan diarahkan tutup kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 20,205 anggota melaksanakan 82,992 pemeriksaan serta snap check di seluruh negara semalam.

"Pemeriksaan yang dilakukan meliputi 1,874 kilang, 15,116 premis perniagaan, 883 tapak pembinaan dan 226 asrama penempatan pekerja.

"Hasil pemeriksaan itu, 63 premis membabitkan lima kilang, 55 premis perniagaan dan tiga tapak pembinaan diarahkan tutup selepas didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan.

"Berdasarkan pemeriksaan dilakukan semalam, seramai 296 individu dikompaun, manakala 20 lagi individu direman kerana ingkar SOP," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hishammuddin berkata, seramai enam pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dan sebuah kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng yang dijalankan di seluruh negara semalam.

"Sebanyak 890 sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Operasi Penawar atau SJR PKP (846 SJR), Operasi Benteng (PDRM/ATM/RELA) (45 SJR) dan Operasi Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9 SJR) dijalankan di seluruh negara, semalam," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, seramai 563 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa di seluruh negara, semalam, menjadikan jumlah kumulatif individu pulang ke tanah air berjumlah 258,485 individu sejak 24 Julai 2020.

"Daripada jumlah itu, seramai 9,277 individu masih dikuarantin di pusat kuarantin wajib, manakala 3,652 individu lagi dibawa ke hospital dan 245,556 individu dibenarkan pulang.

"Bagi Operasi Disinfeksi pula, sebanyak 221 operasi dijalankan yang dilakukan 84 Zon Merah, satu Zon Jingga dan dua Zon Kuning di seluruh negara semalam.

"Operasi Disinfeksi dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Mengulas mengenai barang keperluan asas, beliau berkata, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 804 pemantauan harian terhadap 10 jenis bekalan barangan terdiri daripada 611 peruncit, 161 pemborong dan 32 pengilang, semalam.

"Pihak KPDNHEP juga melakukan 1,999 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 1,996 premis mematuhi SOP, manakala tiga lagi dikenakan kompaun.

"Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan oleh penguat kuasa KPDNHEP di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Julai 2021 @ 8:30 PM