ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri, gambar fail. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur:Aktiviti di pusat hiburan merekodkan kesalahan tertinggi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam Task Force Operasi Pematuhan dilaksanakan semalam yang membabitkan 144 kesalahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semalam seramai 442 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 430 dikenakan kompaun manakala 11 direman dan satu dijamin.

Memperincikan lanjut, beliau berkata, antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (144), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (88), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (lapan) dan 51 untuk lain-lain kesalahan.

"Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 63,822 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP. Sebanyak 3,167 Pasukan Pematuhan yang membabitkan 14,492 anggota membuat pemantauan di 4,314 pasar raya, 6,217 restoran, 2,578 penjaja, 1,709 kilang, 3,923 bank dan 866 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,417 terminal pengangkutan darat, 527 terminal pengangkutan air serta 223 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan media hari ini mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, seramai 102 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditangkap dan empat kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

Menurutnya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 bot atau kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan.

"Op Benteng membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 447 sekatan jalan raya (SJR) semalam.

"Ia membabitkan Op Penawar sebanyak 392 SJR (ATM, PDRM dan Rela), Op Benteng PDRM (46 SJR) dan Op Benteng Aksem (sembilan SJR)," katanya.

Semalam, katanya, sebanyak 94 operasi sanitasi awam juga dilaksanakan meliputi 32 zon merah, lima zon jingga, 11 zon kuning dan tiga zon hijau di seluruh negara.

Menurutnya, ia menjadikan secara kumulatifnya, sebanyak 18,123 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon sudah dilakukan sejak 30 Mac lalu.

"Operasi sanitasi membabitkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan. Operasi sanitasi membabitkan 540 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 215 pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi (42) serta 95 jentera JBPM," katanya.

Selain itu beliau berkata, mengenai kuarantin wajib, semalam seramai 1,112 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya dikuarantin di stesen kuarantin di seluruh negara.

Sejak 24 Julai lalu, katanya, seramai 138,771 individu pulang ke tanah air dan semuanya ditempatkan di 78 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

"Seramai 7,539 individu dikuarantin dan secara kumulatifnya, seramai 130,338 orang dibenarkan pulang manakala 894 lagi dibawa ke hospital. Berkaitan barangan keperluan asas pula, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi.

"Semalam, KPDNHEP membuat 729 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan yang terdiri daripada peruncit (534), pemborong (163) dan pengilang (32). KPDNHEP juga melakukan 1,904 pemeriksaan khas pematuhan SOP dan daripada jumlah itu, 1,884 premis mematuhi SOP manakala 20 premis diberi nasihat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 6:48 PM