DIDIER Deschamps (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan Perancis. FOTO AFP
DIDIER Deschamps (tengah) ketika mengendalikan sesi latihan Perancis. FOTO AFP
Reuters

Hamburg: Jurulatih Perancis, Didier Deschamps menolak kebimbangan mengenai prestasi penyerang utama, Kylian Mbappe dan Antoine Griezmann ketika dia meramalkan akan berlaku pertempuran kuasa menentang Portugal untuk merebut tempat ke separuh akhir Kejohanan Eropah.

Kedua-dua negara itu akan bertemu pada Sabtu ini dalam perlawanan suku akhir di Volksparkstadion, dengan Deschamps berkata pasukan lawan berhak untuk dilabel antara calon memenangi mahkota Euro 2024.

"Pertandingan ini akan menjadi pertempuran kuasa. Portugal mempunyai kemampuan untuk mengawal bola dan suka menyerang daripada bertahan. Jadi, ini akan menjadi pertempuran kuasa."

Deschamps berkata, pertandingan itu juga mungkin menjadi satu permainan yang lebih berhati-hati.

"Kami telah melihat Belanda apabila mereka bermain menentang kami, mereka lebih berhati-hati berbanding perlawanan lain.

"Perkara sama juga dilakukan Belgium. Jadi mungkin Portugal juga akan mempunyai sikap yang sama," kata Deschamps yang berusia 55 tahun.

"Saya tahu jurulatih Roberto Martinez gemar melakukan perubahan formasi. Kadangkala tiga pertahanan diperlukan di bahagian pertahanan. Jika anda mempunyai maklumat dalaman anda boleh berkongsi dengan saya," seloroh Deschamps.

Tetapi beliau mempertahankan Mbappe and Griezmann, di mana sumbangan kedua-dua tonggak utama itu di Jerman menerima kritikan hebat.

"Kylian menghadapi masalah semasa lakukan persediaan, dan dia mengalami trauma semasa pertandingan," tambah Deschamps, merujuk kepada insiden hidung patah kaptennya dalam perlawanan pembukaan menentang Austria.

"Dia bertambah baik dan kami memerlukan Kylian apabila menentang Portugal. Sumbangan Antoine pula masih besar," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2024 @ 1:49 AM