GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Suliati Asri & Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Kesinambungan bantuan diberikan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi membuktikan kerajaan cakna dan prihatin dengan setiap keluhan rakyat yang berdepan kemelut pandemik Covid-19.

Tiga fokus utama dijanjikan iaitu meneruskan agenda prihatin rakyat, menyokong perniagaan dan meningkatkan vaksinasi adalah perkara yang tepat dilakukan ketika ini.

Bermula krisis kesihatan pada Mac 2020 kerajaan sudah memperkenalkan lapan pakej rangsangan ekonomi iaitu empat pakej pada 2020 membabitkan Pakej Prihatin bernilai RM250 bilion, Pakej Prihatin PKS (RM10 bilion), Penjana (RM35 bilion) dan Kita Prihatin (RM10 bilion).

Seterusnya, empat lagi pakej diperkenalkan tahun ini iaitu Permai bernilai RM15 bilion, Pemerkasa (RM20 bilion), Pemerkasa Tambahan (RM40 bilion) dan terbaharu PEMULIH bernilai RM150 bilion.

Jumlah keseluruhan semua pakej rangsangan ekonomi ini berjumlah RM530 bilion.

Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, dalam konteks kesan dan impak kepada lebih separuh pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi ini dapat dilihat ia mula menampakkan hasil sebelum berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, sebagai contoh, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mengukuh pada Mac 2021 apabila mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.0 peratus jika dibandingkan pada Oktober 2020 iaitu -4.7 peratus dan -5.6 peratus pada 2020.

"Seterusnya pakej rangsangan ekonomi juga berjaya mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.6 peratus pada April 2021.

"Pada Mac 2021, Indeks Pelopor mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh pada 17.3 peratus, berbanding dengan peningkatan sebanyak 8.3 peratus pada Januari dan 8.6 peratus pada Februari 2021.

"Bagi Program Subsidi Upah (PSU) 1.0, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja sudah menerima manfaat PSU di bawah Prihatin dan Penjana," katanya.

Menurutnya, setakat 14 Mei lalu, permohonan subsidi upah yang diluluskan sudah pun mencapai nilai RM12.88 bilion.

"Manakala bagi PSU 2.0, setakat 14 Mei, sejumlah RM1.168 bilion sudah disalurkan kepada 73,567 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 635,748 pekerja.

"Setakat April 2021, seramai 150,597 pencari kerja telah berjaya mendapat pekerjaan melalui 12 program yang dilaksanakan kerajaan menerusi inisiatif Pengekalan dan Penjanaan Pekerjaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi negara.

"Eksport Malaysia pula mencatatkan nilai bulanan tertinggi RM95.7 bilion pada Disember 2020, meningkat 10.8 peratus berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

"Nilai Jualan Sektor Pembuatan Malaysia untuk Disember 2020 adalah RM124.6 billion meningkat 4.5 peratus jika dibandingkan dengan Disember 2019," katanya.

Menurutnya, dalam konteks moratorium pula, Malaysia antara negara pertama di dunia memperkenalkan moratorium untuk semua kategori B40, M40 dan T20 selama enam bulan mulai 1 April 2020 sehingga 30 September 2020.

"Dalam pakej PEMULIH, kerajaan meneruskan pelaksanaan moratorium buat kali kedua untuk semua kategori peminjam daripada B40, M40 dan T20 selama enam bulan.

"Namun, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan pengecualian kepada semua faedah yang terbabit semasa moratorium untuk meringankan beban rakyat.

"Pada ketika ini bank juga boleh berkorban sedikit keuntungan mereka dengan membuat pengecualian untuk semua faedah yang terbabit semasa moratorium," katanya.

Sementara itu, Anuar berkata dalam konteks membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelbagai inisiatif dilaksanakan secara berterusan.

"Antara inisiatif dilaksanakan secara berterusan adalah pemberian Geran Khas Perihatin (GKP).

"Ini telah dilaksanakan secara berterusan melalui GKP1.0, GKP 2.0, GKP Permai, GKP 3.0 dan terbaharu GKP4.0.

"Secara keseluruhan, kerajaan sudah memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP.

"Terkini, di bawah Pemerkasa Tambahan, penerima yang layak sudah menerima bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak RM1,000 dan bakal mendapat RM500 lagi pada pertengahan Julai.

"Kerajaan juga bersetuju menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500 akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 6:30 AM