PSU bantu meneruskan survival perniagaan terutamanya PKS supaya tidak gulung tikar.
PSU bantu meneruskan survival perniagaan terutamanya PKS supaya tidak gulung tikar.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sejak bermulanya penularan pandemik Covid-19, golongan yang terbabit dalam bidang perniagaan sama ada perniagaan besar atau peniaga kecil dan sederhana (PKS) menerima kesan akibat sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di sebalik pengurangan pendapatan dan jualan, ada juga perniagaan yang berjaya menakluki cabaran bersama pandemik dan mengambil manfaat pelbagai kemudahan ditawarkan kerajaan.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang diperkenalkan adalah pakej rangsangan kelapan diumumkan di era pandemik Covid-19.

Katanya, nama Pemulih selari dengan nama pelan diumumkan oleh kerajaan iaitu Pelan Pemulihan Negara (PPN) membabitkan nilai RM150 bilion dan merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM10 bilion.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan diumumkan kerajaan berjumlah RM530 bilion iaitu lebih daripada separuh trilion.

"Kesan daripada tiga pakej rangsangan ekonomi iaitu melalui Pemerkasa (RM20 bilion), Pemerkasa + (RM40 bilion) dan Pemulih (RM15 bilion) juga dapat memberi kesan positif kepada PKS dalam tempoh PKP 3.0 ini terutamanya selepas peralihan lebih banyak negeri kepada Fasa 2 dalam PPN.

"Selain itu, kita menyaksikan banyak pakej bantuan diperkenalkan bukan sahaja membantu golongan individu malah PKS dengan salah satunya Program Subsidi Upah (PSU).

"Sejak PSU diperkenalkan, kerajaan sudah membelanjakan lebih RM15 bilion bagi membantu majikan membayar gaji kepada sekitar 2.7 juta pekerja.

"Memandangkan maklum balas positif berhubung program ini, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak 3.8 bilion ringgit yang dijangka memanfaatkan lebih 2.5 juta pekerja.

"Melanjutkan PSU ini akan dapat mengawal kadar pengangguran daripada meningkat, bahkan kadar pengangguran Februari 2021 adalah 4.8 peratus turun 0.1 peratus daripada Januari 2021 iaitu 4.9 peratus.

"PSU yang terdiri daripada PSU 1.0, PSU 2.0 dan PSU 3.0 berjaya menurunkan kadar pengangguran negara.

"Melalui inisiatif PSU 4.0, kerajaan akan menampung sehingga 500 pekerja bagi setiap majikan dengan kadar sebanyak RM600 setiap pekerja selama tempoh empat bulan, iaitu dua bulan bagi semua sektor dalam fasa kedua PPN dan dua bulan seterusnya khusus bagi sektor yang dikategorikan dalam senarai negatif semasa tempoh fasa ketiga nanti.

"Jika sebelum ini, pelaksanaan PSU disyaratkan dengan had gaji di bawah RM4,000, tiada lagi syarat had gaji ditetapkan di bawah PSU 4.0.

"Ini bermakna, majikan boleh memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih RM4,000," katanya.

Beliau berkata, PSU ini berperanan sebagai serampang dua mata iaitu meneruskan survival perniagaan terutamanya PKS supaya tidak gulung tikar dan seterusnya membantu rakyat Malaysia memperoleh pendapatan melalui peluang pekerjaan yang masih ada.

Selain itu, Dr Anuar berkata, untuk menjamin kelangsungan PKS dalam tempoh mencabar ketika ini mereka perlu segera beralih kepada ekonomi digital atau perniagaan secara dalam talian dan e-dagang.

"Program Shop Malaysia Online yang diperkenalkan di bawah pakej Penjana tahun lalu membantu lebih 200,000 usahawan tempatan meningkatkan jualan mereka melalui platform e-dagang dengan nilai transaksi mencecah RM1.8 bilion.

Sehubungan itu katanya, bagi menyokong agenda digitalisasi dan menggalakkan urusan transaksi tanpa tunai, kerajaan membangunkan Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (Pupuk) sebagai inisiatif menyeluruh dan bersetuju memperuntukkan RM200 juta ringgit perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dan RM100 juta untuk PKS.

"PMKS, PKS dan mereka yang baru menceburi dalam perniagaan perlu mengambil peluang tersedia ini antaranya, kempen Shop Malaysia Online dan GoeCommerce Onboarding di mana kerajaan menyasarkan lebih 300,000 peniaga mikro seperti peniaga bazar, pasar tani, pasar malam dan warung serta pengusaha kraf tangan untuk beralih ke perniagaan dalam talian dan menggunakan sistem e-tunai.

"Peruntukkan RM100 juta di bawah SME Digitalisation Grant bagi membolehkan usahawan PKS mendapat geran padanan sehingga RM5,000 untuk pembelian sistem atau langganan platform digital.

"Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil yang diterajui SKMM juga menggalakkan penyertaan PMKS menceburi platform e-dagang.

"Seterusnya bagi memperkasa usahawan tani khususnya di luar bandar menggunakan teknologi terkini, Program Digitalisasi dan Transformasi Sektor Pertanian diperkenalkan melalui kerjasama MDEC dan Pertubuhan Peladang Kawasan di mana mereka mengenal pasti petani yang berpotensi untuk beralih ke platform teknologi baharu," katanya.

'Perlu manfaatkan platform digital'

Kuala Lumpur: Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menyumbang hampir 40 peratus kepada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Sejak pandemik Covid-19 melanda negara, golongan PKS diancam risiko penutupan operasi akibat sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) berpanjangan.

Namun, pakej bantuan ditawarkan kerajaan membantu PKS yang bertahan dengan cabaran pandemik ini.

Pengasas Akademi Guru Niaga, Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee berkata, bantuan diberikan kerajaan pasca pandemik sejak tahun lalu seperti Program Subsidi Upah (PSU) memudahkan usahawan terutama yang mempunyai ramai kakitangan.

Katanya, bantuan yang disediakan ini memberikan suntikan baik dalam menyediakan usahawan yang mahu bermula dan sudah bermula dalam dunia ekonomi digital bagi sistem yang kemas dan tersusun.

"Saya memohon PSU dan juga menerima bantuan Geran Khas Prihatin (GKP).

"Dengan bantuan yang ada saya gunakan sebaiknya untuk operasi perniagaan kerana dalam situasi sekarang kita perlu bijak mengatur langkah.

"Saranan saya, pihak kerajaan bolehlah menyediakan satu lagi bentuk bantuan yang memudahkan usahawan untuk membina perniagaan mereka dalam ekonomi digital agar mempunyai sistem yang kemas dan teratur," katanya yang banyak menganjurkan kelas dalam talian untuk usahawan mikro.

HABIB Shah Md Kassim.
HABIB Shah Md Kassim.

Bagi Pengurus Sufi Secret Industry Sdn Bhd, Habib Shah Md Kassim berkata, usahawan tidak boleh terlalu bergantung dengan bantuan.

Katanya, usahawan perlu kreatif dan mendapatkan ilmu daripada usahawan yang berpengalaman.

"Disebabkan itu usahawan kena belajar ilmu digital, ambil peluang program yang dianjurkan kerajaan dan buat perancangan perniagaan dengan teliti," katanya yang menerima bantuan GKP.

Habib berkata, bagaimanapun diharap kerajaan dapat memperbanyakkan bantuan berbentuk geran.

"Kebanyakan agensi sekarang memberi bantuan pinjaman termasuk pinjaman tanpa faedah, namun untuk usahawan yang baru mula berniaga, mereka perlu diberi bantuan dari segi geran," katanya.

Sementara itu, Pengasas Cikgu Usahawan Business School, Adnan Mohd Farok turut menyarankan PKS terus bangkit dan mara ke hadapan.

"Bagi yang selama ini hanya bergantung kepada jualan secara fizikal, online adalah pilihan terbaik untuk masa ini.

"Pelbagai platform yang boleh digunakan secara percuma dan mudah. Tiba masa untuk usahawan benar-benar kuasai ilmu perniagaan digital ini.

"Antaranya ialah Shopee, Lazada serta Facebook dan gunakan bantuan yang diterima untuk berniaga dalam platform online.

"Banyak program yang dianjurkan agensi kerajaan bagi ilmu pemasaran digital dan usahawan perlu mengambil peluang yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 9:11 AM