PROGRAM moratorium pinjaman automatik selama enam bulan membantu aliran tunai rakyat.
PROGRAM moratorium pinjaman automatik selama enam bulan membantu aliran tunai rakyat.
Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Selepas setahun berhadapan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan empat pakej rangsangan ekonomi, kerajaan berjaya menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bernilai RM14.4 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selain itu, kerajaan juga berjaya mengurangkan kadar pengangguran dari 5.3 peratus pada Mei 2020 ke 4.8 peratus pada Disember 2020.

"Kerajaan juga dapat membantu aliran tunai rakyat melalui program moratorium pinjaman automatik selama enam bulan dengan jumlah moratorium sebanyak RM100 bilion dan bantuan bayaran balik pinjaman bersasar sebanyak RM51.5 bilion.

"Keluaran dalam negara kasar (KDNK) juga meningkat lebih kurang 24 peratus di mana KDNK yang dicatatkan pada suku keempat 2020 ialah RM357.4 bilion berbanding RM289.4 bilion pada suku kedua 2020.

"Malah, menurut Bank Dunia, KDNK Malaysia dijangka meningkat pada kadar 5.6 peratus hingga 6.7 peratus bagi tahun 2021," katanya dalam pembentangan laporan Laksana ke-44 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin), secara maya, semalam.

Menurutnya, dalam tempoh setahun kerajaan Perikatan Nasional dibentuk khususnya dalam tempoh sukar akibat pandemik Covid-19, ia tidak pernah menjadi penghalang atau pematah semangat dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

"Cabaran utama dalam mengurus krisis ini ialah untuk mengimbangi antara keutamaan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup.

"Ke arah itu, kerajaan telah melancarkan empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion dan satu pakej bantuan dengan nilai RM15 bilion khusus untuk memastikan kesejahteraan rakyat, perniagaan dan ekonomi terjamin.

"Itu belum lagi mengambil kira pelaksanaan Belanjawan 2021, iaitu belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan jumlah keseluruhan RM322.5 bilion," katanya.

Menurutnya, peruntukan yang besar saja tidak mencukupi, tetapi ia perlu diiringi dengan pemantauan bagi memastikan peruntukan itu mencapai matlamat yang ditetapkan.

"Sehubungan itu, Laksana telah ditubuhkan untuk memantau keberkesanan pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan juga belanjawan negara," katanya.

Tengku Zafrul berkata, bergerak ke hadapan, antara fokus utama sepanjang tahun 2021 ialah untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan menerusi Majlis Pekerjaan Negara (MPN).

"Kerajaan juga perlu mengutamakan bantuan langsung dan tidak langsung bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat.

"Nasib rakyat perlu lebih terbela, terutama bagi mereka yang berada dalam ekonomi tidak rasmi.

"Kajian yang dibuat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) mendapati, masih terdapat mereka yang tercicir dari menerima bantuan disebabkan tidak berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 7:00 AM