FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Sri Ayu Kartika Amri dan Suliati Asridan Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Lima pakej rangsangan diperkenalkan kerajaan ketika mengharungi kesan pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara langkah terbaik demi kemakmuran dan kelangsungan hidup rakyat.

Inisiatif ini menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan kelima pakej rangsangan itu berjumlah RM320 bilion membabitkan Pakej Prihatin, Pakej Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Kita Prihatin dan terbaharu bagi 2021 iaitu pakej Permai. Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, melihat kepada Belanjawan 2021 pula, kerajaan memperuntukkan RM322.5 bilion bagi perbelanjaan negara.

Katanya, dalam erti kata lain, kerajaan sudah dan akan membelanjakan RM642.5 bilion dan menjadi perbelanjaan terbesar dalam sejarah negara membabitkan tempoh hanya 22 bulan (Mac 2020 hingga Disember 2021).

Dr Anuar berkata, ia secara tidak langsung menggerakkan ekonomi negara melalui perbelanjaan wang diterima rakyat kepada sektor perniagaan khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang akhirnya membantu PKS bernafas semula.

"Namun begitu, cadangan saya, kerajaan juga boleh mempertimbangkan agar moratorium automatik diberikan kepada mereka yang berpendapatan bawah RM10,000 sehingga Jun 2021.

"Manakala Program Subsidi Upah (PSU) dilanjutkan sehingga September 2021 dan kerajaan perlu memantau harga barang yang menunjukkan tanda peningkatan," katanya.

Beliau berkata, kadar pengangguran ketika ini sebenarnya lebih baik jika dibandingkan dengan sebelum pengenalan dan impak inisiatif Prihatin dan Penjana iaitu 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020.

"Jadi, tidak mengejutkan apabila penciptaan peluang pekerjaan dan pengekalan pekerjaan sedia ada menjadi perkara yang amat diberikan perhatian oleh kerajaan dalam Belanjawan 2021.

"Hal itu boleh dilihat melalui peruntukan RM3.7 bilion bagi Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) membabitkan 500,000 peluang pekerjaan baharu melalui peningkatan kemahiran dan latihan semula serta RM2 bilion bagi penambahbaikan Program Penjana Kerjaya membabitkan empat inisiatif yang dianggarkan akan menyediakan 250,000 peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan pakej rangsangan serta Belanjawan 2021 ditambah Permai tahun ini nyata menunjukkan kerajaan membantu golongan rentan.

Menurutnya, dengan inisiatif atau peruntukan yang jelas dalam setiap pakej serta belanjawan ini, golongan rentan iaitu golongan yang terjejas sama ada faktor krisis kesihatan disebabkan Covid-19 atau terkesan kerana kemiskinan ekonomi terbela.

"Jika dilihat laporan mingguan oleh unit Laksana di bawah Kementerian Kewangan, ia memberi satu indikator yang sangat positif terutama bantuan prihatin rakyat yang terkini sudah diberikan kepada penerima seramai 8.45 juta. Lebih daripada anggaran asal 8.1 juta penerima," katanya.

"Bantuan one off kepada pemandu teksi, e-heling, pengusaha pelancongan juga sudah disalurkan. Manakala bantuan terhadap golongan terjejas terutama PKS atau mereka yang bekerja masih lagi mendapat gaji menerusi Program Subsidi Upah (PSU) yang pertama juga sudah melebihi sasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 9:56 AM