GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Murni Wan OmarHayati IbrahimSri Ayu Kartika Amri dan Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) akan menyalurkan beberapa bentuk bantuan demi menjamin kelangsungan 11 perniagaan dalam fasa pertama dan kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui fokus kedua ini, beberapa pendekatan akan ditambah baik antaranya mengurangkan kos tanggungan majikan, menyokong usaha digitalisasi, memberikan kemudahan bantuan kewangan dan insentif percukaian, menyediakan fasiliti pembiayaan dan meneruskan insentif penggajian.

Katanya, pelaksanaan Geran Khas Prihatin (GKP) berjaya menyokong kelangsungan perniagaan dalam kalangan peniaga kecil, terutamanya mereka yang masih tidak dibenarkan beroperasi.

"Secara keseluruhan kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM5.1 bilion melalui inisiatif GKP.

"Terkini, di bawah Pemerkasa Tambahan, penerima yang layak telahpun mendapat bayaran GKP 3.0 mereka sebanyak RM1,000 kira-kira dua minggu lalu dan bakal mendapat RM500 lagi pada pertengahan Julai nanti.

"Memahami kesukaran yang dihadapi oleh pengusaha PKS mikro pada masa ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyediakan bayaran tambahan di bawah GKP 4.0 kepada penerima yang layak iaitu sebanyak RM500 akan dibayar pada September dan RM500 lagi pada November 2021.

"Kerajaan berharap dengan bayaran GKP 4.0 ini, kira-kira sejuta usahawan PKS mikro khususnya pengusaha kedai gunting rambut, pemilik bengkel, kedai roti dan kek, pusat penjagaan kesihatan, dan lain-lain dapat mengurangkan tanggungan bulanan dan membantu aliran tunai mereka," katanya.

Menurutnya, apa yang penting, kepada usahawan mikro yang masih belum pernah mendapat bantuan ini, pendaftaran akan mula dibuka pada pertengahan Julai ini.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 6:45 PM