PENJAJA kecil menjalankan aktiviti perniagaannya seperti biasa walaupun terkesan kerana pandemik Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota. Wilayah Persekutuan akan menjadi Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula 15 November ini.
PENJAJA kecil menjalankan aktiviti perniagaannya seperti biasa walaupun terkesan kerana pandemik Covid-19 ketika tinjauan di sekitar ibu kota. Wilayah Persekutuan akan menjadi Wilayah Bebas Berniaga selama enam bulan bermula 15 November ini.

USAHA kerajaan untuk menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja melalui pakej ekonomi terus menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada bulan September, kadar pengangguran terus menurun pada 4.6 peratus berbanding 4.7 peratus pada bulan Ogos.

"Ini menunjukkan trend penurunan yang konsisten sejak dari 5.3 peratus pada bulan Mei dan melambangkan pengukuhan daya tahan pasaran pekerjaan negara," katanya dalam Laporan Laksana ke-28 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) di Facebooknya, semalam.

Menurutnya, pelaksanaan Prihatin, Penjana dan Kita Prihatin membuahkan hasil dan menyumbang kepada penurunan angka pengangguran yang dicatatkan.

"Namun, usaha masih perlu diteruskan kerana situasi kini amat tidak menentu," katanya.

Beliau berkata, Belanjawan 2021 yang dibentangkan minggu lalu melambangkan kesinambungan usaha kerajaan dengan tiga matlamat untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

"Melalui Belanjawan 2021, antara inisiatif utama termasuk Bantuan Prihatin Rakyat (BPN) berjumlah RM6.5 bilion yang akan memanfaatkan 8.1 juta penerima kelak.

"Kerajaan juga meningkatkan gaji isi rumah minima kepada RM5,000 dan juga mengurangkan minima umur penerima bujang kepada 21 tahun bagi membantu lebih ramai rakyat.

"Golongan B40 turut dibantu dengan lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan sebanyak 50 peratus untuk enam bulan.

"Moratorium ini juga diberikan kepada peniaga mikro yang mempunyai hutang kurang RM150,000 dengan bantuan ini akan bermula pada Disember 2020," katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, peruntukan RM2 bilion untuk skim Pembiayaan PKS Penjana membantu pembiayaan bernilai RM965.5 juta sehingga 30 Oktober lalu dengan keutamaan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang belum pernah mendapat pinjaman bank sebelum ini.

Malah, bagi Program Subsidi Upah (PSU), sebanyak RM12.16 bilion subsidi upah diluluskan hingga 30 Oktober lalu yang memanfaatkan lebih 322,284 majikan serta lebih 2.639 juta pekerja.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2020 @ 7:30 AM