KENDERAAN dikejar polis terbabas. FOTO ihsan pembaca
KENDERAAN dikejar polis terbabas. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Cubaan empat individu menaiki kereta melarikan diri ketika dikejar kereta peronda polis (MPV) gagal apabila kenderaan itu terbabas dan memasuki longkang besar berhampiran Taman Sri Nanding, Hulu Langat, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, anggota MPV yang sedang membuat rondaan jenayah di Jalan Cheras menghala ke Kajang menyedari kereta dalam keadaan mencurigakan pada 5.15 petang.

"Susulan itu, anggota bertugas mengarahkan pemandu kereta itu berhenti untuk melakukan pemeriksaan; bagaimanapun, dia terus memecut kenderaan dan melarikan diri.

"Anggota MPV terbabit kemudian meminta bantuan daripada Pusat Kawalan Cheras dan tiga MPV lain dikerahkan untuk membantu menahan suspek," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Idzam berkata, ketika MPV mengejar kereta berkenaan sejauh beberapa kilometer, kenderaan itu terbabas sendiri di jalan berhampiran Taman Sri Nanding, Hulu Langat.

"Kami berjaya memberkas tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 36 tahun dengan bantuan penduduk tempatan, manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri.

"Semakan awal mendapati semua suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Saringan awal air kencing dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin, katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan seorang lagi suspek sedang giat dijalankan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 11:25 AM