GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Asrol Awang

Maran: Lelaki ditahan polis selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri di Felda New Zealand di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Maran Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan apabila MPV jenis Honda Odyssey dipandunya terbabas berhampiran ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

Menurutnya, polis turut menemui satu paket lut sinar disyaki syabu dalam kenderaan berkenaan.

"Pada mulanya kenderaan itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Jalan Tanah Putih, Kuantan pada 3.20 petang.

"Suspek yang memandu MPV itu didapati sedang menggunakan alat telekomunikasi dan nombor pendaftaran kenderaan kabur dan tidak mengikut spesifikasi atau 'fancy'.

"Anggota polis cuba menahan dan mengarahkannya suspek untuk memberhentikan kenderaan bagi tujuan pemeriksaan tetapi dia terus memecut dan melarikan diri ke arah Jalan Kuantan-Maran.

"Berikutan itu, IPD Kuantan minta bantuan Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Maran untuk mengejar suspek dan mengesannya di persimpangan lampu isyarat tol Maran sebelum dia bertindak berpatah balik dan membuat pusingan U lalu meluru ke arah anggota polis secara merbahaya.

"Berikutan itu, anggota berkenaan melepaskan tembakan ke arah tayar hadapan MPV suspek tetapi suspek berjaya meloloskan diri dan turut melanggar sebuah kereta yang berada di kawasan itu sebelum melarikan diri menghala ke arah Sri Jaya.

"Bagaimanapun, kenderaan suspek terbabas di kawasan berhampiran ladang kelapa sawit Felda New Zealand sebelum dapat ditahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati MPV berkenaan tidak berdaftar, mempamerkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan nombor pendaftaran palsu.

"Hasil semakan ke atas suspek pula mendapatinya mempunyai rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah, dia juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Selain itu, lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 108(3)(a), Seksyen 108(3)(f) dan Seksyen 7(1) APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 10:05 PM