Mahaizura Abd Malik

Hulu Langat: "Saya sudah letih...setiap kali banjir barang elektrik dan perabot pasti rosak," kata Meria Ismail, 60, penduduk Kampung Dusun Nanding di sini.

Katanya, dalam kejadian terbaru pada 4 November lalu, dia mengalami kerugian antara RM5,000 hingga RM6,000 apabila banyak perkakasan elektrik dan kelengkapan rumah rosak.

Katanya, dalam kejadian 6.30 pagi itu, air naik begitu pantas hingga paras pinggang di dalam rumah dan surut sekitar jam 1 petang.

"Setiap tahun memang kerap berlaku banjir di kawasan ini tetapi kali ini kali kedua terburuk selepas dua tahun lalu.

"Mungkin kediaman kami berhampiran sungai dan projek pembinaan lebuh raya membuatkan rumah kami kerap dinaiki air terutama ketika hujan lebat," katanya selepas menerima sumbangan dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun.

Meria antara 100 mangsa banjir yang menerima barangan keperluan asas, tilam dan wang tunai sempena program Ziarah Prihatin Hulu Langat di Pekan Batu 18 di sini, hari ini.

Ibu anak tiga yang juga peniaga warung itu turut menzahirkan penghargaan kerana sumbangan disalurkan itu memberi sedikit kelegaan dan meringankan beban terutama kerugian ditanggung penduduk akibat bencana itu.

"Saya cuma berharap kerajaan dapat mencari punca masalah dan menambah baik infrastruktur sedia ada termasuk sistem perparitan di kawasan ini supaya penduduk tidak menghadapi musibah yang lebih buruk," katanya.

RINA menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir, Meria di Majlis Ziarah Prihatin Mangsa Banjir di Batu 18 Hulu Langat. FOTO Eizairi Shamsudin
RINA menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir, Meria di Majlis Ziarah Prihatin Mangsa Banjir di Batu 18 Hulu Langat. FOTO Eizairi Shamsudin

Sementara itu, Khaserilah Khalid,34, yang tiga tahun menetap di Jalan Zamrud 2, di sini, berkata kejadian banjir terbaru itu menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumah.

"Air naik begitu cepat. Banyak barangan dalam rumah tidak sempat diselamatkan hanya sempat mengambil pakaian dan peti sejuk saja.

"Kebetulan saya tengah hamil lima bulan, memang bencana ini amat meletihkan kerana selepas surut kami perlu membersihkan pula lumpur dalam rumah.

"Saya harap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu banjir di kawasan Hulu Langat ini supaya kami tidak perlu melalui kesulitan sama setiap kali hujan lebat," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, lebih 400 kediaman di 10 kampung di daerah ini dilanda banjir akibat hujan lebat awal pagi, 4 November lalu.

Bencana itu mengakibatkan beberapa jalan termasuk Jalan Industri Hulu Langat turut ditutup kerana dinaiki air mencecah 0.45 meter.

Difahamkan, antara kawasan terjejas ialah Kampung Batu 16, Kampung Sungai Serai, Kampung Kuala Perdik, Kampung Batu 14, Kampung Batu 18, Kampung Batu 20 Sungai Lui, Kampung Batu 17, Kampung Dusun Nanding, Kampung Batu 13 dan Kampung Lubuk Kelubi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 2:41 PM