POLIS menahan lelaki yang melarikan diri selepas menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing di Bukit Jalil selain turut merampas kereta Perodua Myvi yang digunakannya. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menahan lelaki yang melarikan diri selepas menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing di Bukit Jalil selain turut merampas kereta Perodua Myvi yang digunakannya. FOTO Ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Menyamar sebagai anggota polis untuk menyamun warga asing.

Jenayah yang dilakukan lelaki berusia 43 tahun itu bagaimanapun terbongkar apabila pasukan polis peronda yang melalui lokasi kejadian di hadapan sebuah apartment di Bukit Jalil di sini, melihat kelakuan suspek sebelum menahannya, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, suspek sebelum itu dikatakan menahan seorang lelaki warga asing yang sedang berjalan kaki di hadapan apartment berkenaan pada 6.30 petang, Sabtu lalu.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai anggota polis lalu membuat pemeriksaan dan mengambil wang RM150 milik lelaki itu.

"Dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang menjalankan tugas ronda jenayah melihat kejadian lalu menghampiri suspek. Suspek melarikan diri dengan memandu kereta Perodua Myvi menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Semasa melarikan diri, suspek turut melanggar beberapa kenderaan orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota polis menunggang motosikal mengejar suspek sehingga ke Jalil Link, Bukit Jalil yang mana kereta suspek terhalang oleh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat merah.

Menurutnya, salah seorang anggota mengarahkan suspek keluar dari kenderaan dan memberi amaran, namun suspek memandu meluru ke arah anggota itu menyebabkan anggota terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar keretanya.

"Bagaimanapun, suspek dapat melarikan diri dengan memandu menaiki pembahagi jalan dan melawan arus menuju ke Lebuhraya Shah Alam (Kesas) menghala Shah Alam," katanya.

Katanya, susulan kejadian itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat risikan dan berjaya menahan suspek serta merampas keretanya di Taman Sentosa, Klang, pada jam 8.50 malam tadi.

Muhammad Idzam berkata, semakan mendapati suspek memiliki beberapa rekod jenayah dan dadah malah ujian saringan urin juga didapati positif methamphetamine.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307/392 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superintendan Wan Razzo Wan Hashim di talian 019-2633120 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 1:47 PM