GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Cubaan dua penjenayah melarikan diri gagal selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Prima Saujana, di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan daripada anggota polis Unit Kereta Peronda (MPV) memaklumkan sedang mengejar suspek jam 4.30 pagi.

"MPV mengejar kereta suspek bermula dari Dataran C180, Balakong sehingga ke Bandar Mahkota Cheras sebelum mereka meminta bantuan MPV lain.

"Kereta berkenaan dikejar dari kawasan Kajang Perdana sehingga ke Prima Saujana dengan bantuan lima MPV.

"Dua suspek berusia 25 dan 35 tahun itu berjaya ditahan selepas kenderaan mereka terbabas di kawasan Prima Saujana," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sabri berkata, pihaknya merampas sebuah kereta dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk jenayah pecah rumah.

"Semakan mendapati suspek pertama mempunyai empat rekod berkaitan dadah serta sembilan rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai enam rekod berkaitan dadah dan enam rekod jenayah.

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Sallena Mhd Sallehudin di talian 017-6424007 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 3:23 PM