Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Hulu Langat: Penduduk di sekitar Taman Sri Nanding, Kampung Sungai Lui, Kampung Jawa dan Batu 18 di sini, bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.

Mereka dilihat masih trauma dengan kejadian banjir besar yang menimpa pada Disember lalu.

Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati ada di antara mereka meletakkan kenderaan di tempat tinggi susulan banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam.

Penduduk, Haron Amir, 70, berkata, kejadian banjir kilat semalam menyebabkan penduduk kini lebih berhati-hati dan sentiasa peka dengan paras air sungai.

"Semalam hujan memang sangat lebat, walaupun air naik namun kami bernasib baik kerana surut sejam selepas air naik.

"Sekarang ini kami akan meletakkan kenderaan di tempat tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

HARON membersihkan peralatan rumah akibat banjir kilat di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. FOTO Azhar Ramli
HARON membersihkan peralatan rumah akibat banjir kilat di Taman Sri Nanding, Hulu Langat. FOTO Azhar Ramli

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Komuniti Kampung, Kamarudin Alias, 62, berkata, kejadian banjir kilat semalam dipercayai akibat longkang tersumbat.

"Air surut sejam kemudian selepas penduduk kampung membersihkan longkang di sekitar Taman Sri Nanding selain faktor hujan yang sangat lebat.

"Memang kami masih trauma dengan apa yang terjadi dan kini masih berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang sentiasa siapsiaga membantu penduduk.

"Bomba berada di kawasan ini sejak Sabtu lalu bagi memantau paras air sungai, semalam mereka bertindak pantas dengan menyediakan bot penyelamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 4:24 PM