Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Pesawah warga emas hampa apabila sawah seluas 12 hektar diusahakannya di Kampung Sungai Tukang Sidin, Sungai Manik, di sini, rosak akibat serangan ulat pengorek batang padi (chilo suppressalis) atau ulat batang hingga menyebabkannya kerugian RM50,000.

Ahmad Jamri Mohamad, 71, berkata, pada musim kali ini secara keseluruhannya, 95 peratus kawasan sawah terjejas teruk dan tidak boleh mendapat hasil seperti musim sebelumnya.

"Minggu lalu, kami cuba potong padi, tetapi cuma dapat lebih kurang 700 kilogram saja iaitu hasil pendapatan bersih RM500, selebihnya tidak menjadi.

"Selalunya untuk 12 hektar saya boleh memperoleh antara 40 hingga 50 tan semusim, tetapi kali ini hampir keseluruhan padi menjadi padi hampa," katanya yang mengusahakan sawah itu bersama anak dan cucunya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkannya menanggung kerugian hingga tiada modal untuk memulakan musim baharu bulan hadapan.

Katanya, mereka buntu mahu bayar hutang dan pelbagai kos lain, malah belum ada modal untuk pusingan musim baru.

"Serangan ulat sebelum ini masih boleh dikawal dan hanya menyerang di kelompok tertentu saja, tidak di semua kawasan sawah seperti berlaku ketika ini.

"Kalau padi menjadi, dari jauh sudah lihat kuning dan cantik, tetapi kali ini nampak macam terbakar dan dalam itu kosong, tiada isi dan jadi padi hampa.

"Saya berharap pihak berkaitan dapat membantu kami dan jika berterusan ia akan menyebabkan kami semakin terjejas teruk, malah pesawah lain turut menghadapi masalah sama," katanya yang berpengalaman lebih 50 tahun mengusahakan sawah.

AHMAD Jamri menunjukkan padi hampa akibat serangan ulat batang. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.
AHMAD Jamri menunjukkan padi hampa akibat serangan ulat batang. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 11:26 AM