SAWAH padi yang mengalami kerosakan akibat serangga perosak Ulat Batang. - Gambar hiasan
SAWAH padi yang mengalami kerosakan akibat serangga perosak Ulat Batang. - Gambar hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Pemantauan sedang dilakukan terhadap pesawah padi yang terjejas akibat serangan ulat pengorek batang padi (chilo suppressalis) atau ulat batang di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, di sini.

Pengarah IADA Seberang Perak, Mohd Shafie Mohd Sidek berkata, serangan ulat berkenaan merebak lebih 50 peratus merangkumi Skim Pengairan Sungai Manik dan Skim Pengairan Ulu Dedap.

Menurutnya, susulan aduan diterima, pihaknya bersama Jabatan Pertanian negeri mengambil tindakan awal terhadap masalah itu seperti pembersihan kawasan dan pemberian racun serangga.

"Antara faktor serangan ulat ini kerana keadaan cuaca dan semak samun terutama kawasan yang mempunyai tanaman lain seperti kelapa sawit yang boleh menjadi perumah kepada serangga perosak.

"Untuk pesawah yang mengalami kerugian, kami sudah bawa perkara ini kepada pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri untuk bantuan sewajarnya," katanya ketika dihubungj, hari ini.

Katanya, pihaknya mendapati antara 70 hingga 80 peratus pesawah di Kampung Sungai Tukang Sidin, Sungai Manik, di sini, mengalami masalah serangan ulat batang berkenaan.

Portal Harian Metro hari ini melaporkan pesawah di Kampung Sungai Tukang Sidin, Sungai Manik kecewa apabila padi yang diusahakannya rosak akibat serangan ulat batang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 7:34 PM