ISMAIL (kiri) menunjukkan racun yang dibeli pesawah didakwa mengalami kenaikan harga berbanding sebelum ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ISMAIL (kiri) menunjukkan racun yang dibeli pesawah didakwa mengalami kenaikan harga berbanding sebelum ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Golongan petani menjalankan penanaman padi di Sawah Sempadan, di sini, mendakwa terbeban berikutan kenaikan harga racun susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jun lalu.

Petani mendakwa terpaksa membeli racun dengan harga tidak munasabah, sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Ismail Sakun, 74, mendakwa racun lima liter dijual pada masa ini berharga RM300 berbanding RM145 sebelum ini.

Katanya, keadaan turut diburukkan lagi dengan hasil pengeluaran padi dan pendapatan petani semakin merudum, sekali gus membebankan mereka.

"Peniaga memberi alasan ada beberapa faktor kenaikan harga racun di pasaran antaranya harga sentiasa meningkat. Contohnya, jika tidak dibeli hari ini, mungkin ia akan naik pada keesokan hari.

"Malah, peningkatan kos minyak dan pengangkutan dijadikan alasan bagi membolehkan peniaga menjual racun dengan harga mahal," katanya.

Beliau berkata, situasi itu turut menambah resah buat petani apabila hasil tanaman padi musim ini diserang bena perang dan ulat batang.

Menurutnya, ada petani yang mengusahakan sawah seluas 0.4 hektar hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM600 satu musim, sedangkan perlu mengeluarkan kos untuk membeli benih, baja, racun dan sebagainya.

Rakannya, Zulkarnain Md Sarif, 47, berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dapat menguatkuasakan akta supaya harga racun diletakkan sebagai barang kawalan.

"Tidak munasabah racun dijual pada harga tinggi tatkala kami bergelut dengan kos sara hidup tidak menentu.

"Kenaikan ini membebankan kami dan harap ada sinar daripada kerajaan untuk meringankan beban pesawah," katanya.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Karang, Mohd Ruzi Abu Hassan berkata, beliau berharap Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) membantu pesawah menangani isu kenaikan harga racun.

"Antara cadangan boleh dilaksanakan ialah melantik Nafas sebagai ejen untuk membekalkan racun kepada petani dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran" katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan rungutan berhubung kenaikan harga racun di pasaran.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa bagi mengawal kenaikan harga racun.

"Penggunaan racun belum tentu boleh menyelesaikan masalah. Sebab itu, kita menggalakkan pesawah menggunakan cuka kayu sebagai racun organik.

"Didapati ramai pesawah di Selangor yang menggunakan cuka kayu berjaya menangani serangan musuh tanaman dan kerosakan padi tanpa bergantung kepada racun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 1:02 PM