Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Ahmad Mustain Othman (tengah) bersama Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar Datuk Ramli Norani (kiri) meninjau hasil padi yang dihantar ke Pukal Padi PPK Parit 9, hari ini. FOTO IHSAN FB MUSTAIN OTHMAN
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Ahmad Mustain Othman (tengah) bersama Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar Datuk Ramli Norani (kiri) meninjau hasil padi yang dihantar ke Pukal Padi PPK Parit 9, hari ini. FOTO IHSAN FB MUSTAIN OTHMAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: "Isu pemotongan pemutuan padi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak yang mencecah sehingga 40 peratus boleh dielakkan sekiranya pesawah menghantar padi ke kilang berkualiti," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabak Ahmad Mustain Othman.

Hasil tinjauannya mendapati hasil tuaian yang dihantar pesawah ke kilang mengandungi lebih banyak biji padi muda atau hampa.

Difahamkan, pihak pengilang mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri semasa proses pemotongan pemutuan dilakukan.

"Sekiranya mutu padi berkualiti, pihak pengilang tidak sesuka hati hendak melakukan pemotongan pemutuan tinggi sehingga menjejaskan pendapatan pesawah," katanya tadi.

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan di Pukal Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parit 9, di sini.

Hadir sama, Pengerusi PPK Sungai Besar, Datuk Ramli Norani.

Mengulas lanjut, Ahmad Mustain berkata, terdapat beberapa faktor hasil tuaian padi kurang berkualiti seperti padi ditanam pesawah di kawasan diserang penyakit ulat batang.

"Saya difahamkan, penyakit ini (ulat batang) menyerang tanaman padi ketika hanya kira-kira 20 hari lagi padi mahu dituai sekaligus menyebabkan pokok padi rosak.

"Oleh itu, pesawah perlu memastikan perkara seperti ini tidak berulang kembali dalam memastikan hasil tuaian berkualiti pada masa depan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pertanian untuk memastikan masalah yang sama tidak berterusan menghantui pesawah serta memastikan segala bantuan dan masalah pesawah diberi perhatian serius.

"Kita minta beberapa aspek perlu diberi tumpuan pihak berkaitan seperti sistem pengaliran yang baik serta bantuan input pertanian lain bagi meningkatkan lagi hasil pengeluaran padi sehingga sembilan tan metrik," katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, pihaknya mencadangkan Kerajaan Selangor supaya membina sebuah kilang memproses beras dalam usaha menangani isu pemotongan pemutuan padi.

Katanya, kilang itu bakal berperanan sebagai pusat belian padi daripada pesawah sekitar Kawasan Pembangunan Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor.

"Kita mencadangkan Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya membuka dua buah kilang sekitar IADA Barat Laut yang secara tidak langsung dapat menangani isu penindasan dan manipulasi harga pada masa sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:47 PM