SAWAH padi  di Parit Haji Yusof, Parit Buntar.
SAWAH padi di Parit Haji Yusof, Parit Buntar.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SERAMAI 35 pesawah di sekitar Kuala Kurau di sini, mendakwa kerugian kira-kira RM400,000 selepas 24 hektar sawah padi diusahakan mereka hanya mengeluarkan padi hampa atau tidak berisi akibat serangan penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Difahamkan, masalah itu menyebabkan padi yang sudah masak tidak dapat dituai manakala padi sudah dituai tidak diterima pengilang menyebabkan pesawah terpaksa menjadikannya sekam untuk tanaman sayuran.

Keadaan itu menyebabkan pesawah kehilangan sumber pendapatan dan lebih memeritkan apabila ia berlaku ketika masing-masing memerlukan wang untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak.

KEADAAN sawah padi hampa atau tidak berisi.
KEADAAN sawah padi hampa atau tidak berisi.

Ketua Unit Peladang Parit Haji Samsuri dan Parit Haji Yusof, Md Hambali Md Arshad berkata, sebahagian daripada tiga hektar sawah padi diusahakannya dijangkiti penyakit BPB, sekali gus menjejaskan pendapatannya.

“Kebiasaannya saya mampu memperoleh antara lapan hingga 10 tan hasil padi, namun untuk musim ini terjejas teruk akibat penyakit ini, pengilang menolak padi dituai dengan alasan berpenyakit .

“Namun, kami bernasib baik kerana Pertubuhan Peladang Kawasan (PKK) Kuala Kurau sanggup membeli, lepas juga beban hutang kami,” katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Datuk Abdul Yunus Jamhari, Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridhuan Osman dan Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri.

ABDUL Yunus (kanan) meninjau salah satu lot sawah padi hampa di Parit Haji Yusof, Parit Buntar.
ABDUL Yunus (kanan) meninjau salah satu lot sawah padi hampa di Parit Haji Yusof, Parit Buntar.

Md Hambali berkata, dia dan semua pesawah amat mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri susulan masalah serangan BPB yang menjejaskan pendapatan mereka.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, lapan kampung mengusahakan sawah padi di daerah ini dikenal pasti mengalami masalah sama dan BPB adalah serangan bakteria pada peringkat awal tuaian.

PADI hampa yang dijangkiti penyakit Hawar Bulir Bakteria.
PADI hampa yang dijangkiti penyakit Hawar Bulir Bakteria.

“Lokasi dikenal pasti di Parit Gumpong, Parit Tanjung Piandang, Parit Haji Manan, Parit Mad Ali, Parit Sungai Baru, Parit Haji Samsuri dan Parit Haji Yusof serta beberapa lagi kampung yang turut dikatakan mula diserang penyakit ini.

“Sebanyak sembilan sampel sudah dihantar ke makmal Jabatan Pertanian Kuala Lumpur untuk pengesahan penyakit, sekali gus mengetahui punca sebenar,” katanya.

PESAWAH di Jejawi Dalam menunjukkan tanaman padi yang musnah akibat tidak menerima bekalan air yang mencukupi. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN.
PESAWAH di Jejawi Dalam menunjukkan tanaman padi yang musnah akibat tidak menerima bekalan air yang mencukupi. FOTO DZIYAUL AFNAN ABDUL RAHMAN.

Padi terjejas lewat lepas air

SERAMAI 337 pesawah di Jejawi Dalam di sini, runsing apabila 496 hektar tanaman padi diusahakan mereka terjejas akibat kurang bekalan air.

Masalah itu didakwa disebabkan kelewatan pihak berkaitan melepaskan air mengikut jadual menyebabkan sawah kering, sekali gus menyebabkan padi mati.

Pesawah, Othman Dat, 60 berkata, dia kerugian hampir RM20,000 apabila lebih 10 hektar tanaman padinya musnah.

“Sistem pengairan yang tidak sempurna mengeruhkan lagi keadaan dengan parit tersumbat dan tidak diselenggara dengan baik.

“Apabila air dilepaskan pada waktu tertentu, tidak semua sawah menerima bekalan air mencukupi menyebabkan ada pesawah menanggung kerugian apabila tanaman padi mereka rosak,” katanya.

Ahmad Nasaruddin Yob, 53, berkata, dia ada mengambil inisiatif menggunakan mesin pengepam air bagi menyalurkan air dari sungai berhampiran ke sawah miliknya.

“Namun, tidak semua mampu memiliki mesin berkenaan selain bakal meningkatkan kos kerana perlu membeli petrol.

“Malah, ada pemilik yang tidak dapat menggunakan mesin itu kerana sawah mereka terlalu jauh dari sungai dan hanya berharap kepada bekalan air dari sistem perparitan yang tidak sistematik,” katanya.

Menurutnya, sekiranya masalah itu berlarutan, pesawah tidak dapat menikmati hasil tuaian kali ini selain terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk memulakan penanaman semula.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Ir Asnol Adzhan Abd Manap ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengadakan lawatan ke kawasan yang terjejas dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya mendapati masalah pengairan berlaku di hulu dan hilir kawasan pertanian itu dan proses pengumpulan maklumat sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 6:30 AM