GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Pesawah di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor kecewa apabila 6,000 hektar tanaman padi terjejas selepas mengalami masalah serangan ulat batang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Ir Izham Hashim berkata, serangan menyebabkan kira-kira 1,700 kawasan di dua mukim iaitu Sungai Panjang dan Bagan Terap terjejas teruk, pada musim tanaman padi kali ini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri mengambil langkah awal termasuk memperuntukkan RM1 juta bagi mengawal serangan terbabit.

"Kita dapat mengawal kira-kira 70 peratus sawah terjejas yang dilaksanakan secara berperingkat kecuali pesawah yang mengalami kerosakan sawah terlalu serius," katanya, hari ini.

Izham ditemui pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Koperasi Wawasan Tani, Simpang Lima, di sini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin.

IZHAM (kanan) menunjukkan isyarat bagus semasa majlis penyerahan dron selepas melakukan lawatan ke Koperasi Wawasan Tani, Simpang Lima. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
IZHAM (kanan) menunjukkan isyarat bagus semasa majlis penyerahan dron selepas melakukan lawatan ke Koperasi Wawasan Tani, Simpang Lima. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Sehubungan itu, beliau berkata, pemantauan dilakukan secara berterusan untuk memastikan masalah sama tidak berulang kembali.

"Antara langkah yang dilaksanakan termasuklah melakukan penambahbaikan dari segi rawatan tanah, penggunaan baja organik dan kawalan serangga.

"Semua inisiatif ini disediakan di bawah program peningkatan hasil padi Selangor," katanya.

Dalam pada itu, Izham berkata, Kerajaan Negeri turut memberi bantuan variati benih padi yang sah iaitu MR219.

"Antara punca padi bermasalah ialah disebabkan benih padi tak sama walaupun ditanam di kawasan berdekatan.

"Ini menyebabkan masalah pada kualiti padi. Oleh itu, kita telah beri benih kepada 22 blok membabitkan seramai 878 pesawah di dua mukim (Sungai Panjang dan Bagan Terap)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 9:49 PM