AZIZAH (kiri) dan Siti Mariam menunjukkan padi yang dikerat
AZIZAH (kiri) dan Siti Mariam menunjukkan padi yang dikerat
Noorazura Abdul Rahman


Padang Terap: Pesawah di beberapa kampung di mukim Pedu di sini mendapat rezeki berganda apabila padi yang ditanam di kawasan itu berbuah kali kedua selepas dituai Januari lalu.

Kebiasaannya pesawah di sini hanya mengusahakan tanaman padi sekali setahun iaitu awal April kerana daerah ini terletak di luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengusahakan padi dua musim setahun.

Bagaimanapun, pesawah dari Kampung Musa, Kampung Bukit Baling, Kampung Padang Setoi, Kampung Bukit Buluh dan Kampung Lubuk Merbau terkejut bila padi yang disangkakan hampa (tidak berisi), sebenarnya berisi walaupun tidak diusahakan secara sempurna selepas musim menuai lalu.

Seorang pesawah Azizah Salleh, 70, berkata, kejadian itu tidak pernah dialaminya sejak lebih 50 tahun menjadi pesawah dan menganggapnya sebagai ‘bonus’ pemberian daripada Allah SWT.

“Di sini, padi dituai menggunakan jentera pada musim menuai, jadi padi tumpah dari mesin penuai biasanya tumbuh semula, tetapi tidak banyak dan kebanyakannya hampa.

“Tetapi kali ini agak pelik apabila didapati isinya padat dan boleh dituai semula. Saya sendiri dapat menuai sehingga 300 kilogram (kg) padi dari kawasan sawah seluas empat hektar,” katanya.

Menurutnya, disebabkan padi masak di luar musim, pesawah menuai padi dengan cara tradisional iaitu mengerat tangkai padi dengan sabit, sekali gus mengembalikan nostalgia dulu-dulu.

Azizah berkata, memandangkan hasil padi itu tidak banyak seperti musim menuai, hasilnya tidak dijual, tetapi disimpan untuk kegunaan keluarga.

Seorang lagi pesawah, Siti Mariam Osman,69, berkata, petani di kawasan itu membeli pisau mengerat baru meskipun harganya agak mahal.

“Sudah lama kami tidak mengerat, ramai petani keluar ke pekan membeli pisau mengerat yang kini harganya mencecah RM9 bagi saiz kecil manakala RM18 bagi saiz besar.

“Sebelah petang, kami turun ke sawah untuk mengerat dan ia umpama pesta yang turut mengembalikan semangat gotong-royong antara petani,” katanya.

Bagi Abu Bakar Salleh, 66, dia gembira dapat menuai pokok padi kerana ia dapat menjimatkan perbelanjaan rumah.

Katanya, sebagai ketua keluarga, dia tidak perlu membeli beras selama beberapa bulan kerana hasil tuaiannya banyak.

“Hasil padi sebelum ini semuanya dijual kepada pengilang, tapi kali ini kami makan hasil dari sawah sendiri selama beberapa bulan sebelum tiba musim menuai seterusnya.

“Setiap petang saya turun ke sawah untuk mengerat, sehingga kini 200 kg padi sudah dituai, sebelum kerja-kerja membajak bermula pada awal bulan April ini, saya akan cuba mengerat setakat yang termampu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 9:45 AM