Peniaga colek, Mohd Azizi Md Nor, 42 (kanan) bersama isterinya Nik Nawati Nik Lah, 38 (kiri) menunjukkan surat rayuan kompaun yang berjaya dikurangkan kepada RM500  hasil rayuan yang dibuat menerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika ditemui di pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Peniaga colek, Mohd Azizi Md Nor, 42 (kanan) bersama isterinya Nik Nawati Nik Lah, 38 (kiri) menunjukkan surat rayuan kompaun yang berjaya dikurangkan kepada RM500 hasil rayuan yang dibuat menerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika ditemui di pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Selepas insiden dikenakan kompaun RM50,000 baru-baru ini, saya belum kembali berniaga kerana seakan-akan serik dengan kejadian itu," kata peniaga colek, Mohd Azizi Md Nor.

Mohd Azizi, 42, berkata dia masih terbayang insiden pihak berkuasa datang ke gerainya di Kampung Chekok Tengah, di sini, sebelum dikenakan kompaun tinggi sehingga bingung memikirkan nasib keluarganya.

"Selepas insiden itu pada 26 April lalu, saya cuba menjual murtabak beberapa hari selepas itu, namun hanya sempat berniaga dua hari sahaja sebelum menutup gerai kerana bimbang kejadian sama berulang.

"Walaupun sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang akan berkuat kuasa esok, kedai makan boleh beroperasi, saya masih belum ada kekuatan untuk kembali berniaga kerana enggan mengambil risiko," katanya.

Mohd Azizi berkata demikian ketika ditemui di pejabat Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa, di sini, yang membantunya membuat rayuan sebagai tanda terima kasih, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pemuda Umno Bahagian Pengkalan Chepa, Fareez Amran.

Pada masa ini, Mohd Azizi membantu isterinya, Nik Nawati Nik Lah, 38, membuat roti canai segera selain menggunakan wang simpanan serta sumbangan orang ramai untuk perbelanjaan harian.

Menurutnya, walaupun jumlah kompaun dikurangkan, dia tetap tidak mampu menjelaskan denda itu kerana perniagaannya hanya cukup untuk kelangsungan hidup keluarganya sahaja.

"Pendapatan yang diperoleh sekitar RM200 sahaja sehari hanya cukup untuk belanja seharian serta pusingan modal.

"Jika perlu membayar kompaun itu sekalipun, mungkin saya terpaksa berhutang dengan sanak saudara walaupun sudah dikurangkan kepada RM500," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, peniaga colek itu dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa pada 26 April lalu.

Bagaimanapun, denda itu berjaya dikurangkan kepada RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 5:41 PM