Datuk Shafien Mamat.
Datuk Shafien Mamat.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: polis Kelantan akan meneliti semula kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap peniaga burger di Kampung Rambutan Rendang, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pihaknya membuka kertas siasatan dan akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK).

Katanya, pihak polis akan melihat dari semua aspek termasuk kewajaran serta rungutan daripada masyarakat tentang jumlah kompaun yang dikenakan.

"Seterusnya akan merujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk nasihat dan pandangan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shafien berkata, merujuk kepada kes tular di media sosial membabitkan pemilik burger berkenaan, pada masa sama pihak polis mengeluarkan tiga kompaun kepada pemilik premis kedai makan termasuk pemilik gerai burger.

Jelasnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihak polis meningkatkan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh daerah.

"Bagi tempoh 16 April sehingga semalam, sebanyak 127 kompaun dikeluarkan kepada pihak yang tidak mematuhi SOP ditetapkan.

"Pihak polis menerima aduan dan rungutan daripada masyarakat bahawa masih terdapat premis perniagaan yang tidak mematuhi SOP dan premis kedai makan beroperasi melebihi masa ditetapkan.

"Pada 25 April susulan aduan daripada orang awam, polis Kelantan mengeluarkan tujuh kompaun kepada pemilik dan pelanggan premis kedai makan di sekitar Pengkalan Chepa," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah mengenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 mestilah dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau dipetik berkata, kerajaan sudah menggubal Garis Panduan Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun di bawah akta itu untuk dijadikan panduan kepada pihak penguat kuasa yang menjalankan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya, mengikut garis panduan itu, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis adalah kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

Berita berkaitan:

  • 'Alhamdulillah ramai yang ingin bantu' - Peniaga burger

  • Kena kompaun RM50,000 berniaga melebihi masa ditetapkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 1:10 PM