PENCAPAIAN calon SPM pada 2023 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya. FOTO Bernama
PENCAPAIAN calon SPM pada 2023 adalah lebih baik apabila merekodkan Gred Purata Nasional sebanyak 4.60 berbanding 4.74 pada tahun sebelumnya. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 12 daripada 14 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Mereka yang lulus adalah 11 calon dari Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Papar, Sabah manakala seorang dari Puspen Seri Iskandar, Perak.

Pemangku Ketua Pengarah AADK Shobah Jamil berkata, semua klien terbabit sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Puspen berkenaan.

Menurutnya, mereka mengikuti modul khas iaitu Program Akses Pendidikan Klien (PAPK) yang ditawarkan khusus kepada klien bawah usia 18 tahun sebagai peluang kebajikan pendidikan.

"Menerusi program PAPK itu, klien yang layak akan mengikuti jadual kelas sistematik dan diajar oleh guru dilantik menerusi Skim Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pendidikan serta berpengalaman dalam bidang pendidikan.

"Sesi pengajaran turut dibantu tenaga pengajar dari Pejabat Pendidikan Daerah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai PAPK, Shobah berkata, program yang diperkenalkan sejak 2015 itu bagi membantu klien berdepan dengan keciciran pelajaran ketika menjalani program RPDI di Puspen.

"Usaha ini adalah untuk memberi peluang kepada klien bagi memajukan diri dalam aspek akademik dan sijil yang diperoleh ini juga boleh digunakan mereka untuk meneruskan kehidupan sekali gus dapat mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

"Berdasarkan pengalaman kami, ada antara mereka yang berdepan masalah seperti tidak pandai membaca, mengira, menulis, namun selepas mengikuti program PAPK di Puspen mereka beroleh kemahiran itu sehingga berjaya lulus dalam SPM.

"Sebanyak enam mata pelajaran diambil klien AADK iaitu Bahasa Melayu; Bahasa Inggeris; Sains; Matematik; Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral," katanya.

Katanya, klien yang lulus SPM berpeluang melanjutkan pengajian ke tahap lebih tinggi seperti Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), GiatMara dan politeknik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 8:17 PM