WAN Mohd Faisal Wan Kadir
WAN Mohd Faisal Wan Kadir
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: "Sejak tular kisah kami dikompaun RM50,000 semalam, saya menerima panggilan tanpa henti daripada pelbagai pihak yang mahu membantu saya dan suami.

"Alhamdulillah saya tidak sangka ramai yang prihatin dengan masalah menimpa kami," luah Norlaili Shafien, 37, iatu isteri kepada peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, yang dikenakan kompaun kerana berniaga lebih masa.

Norlaili berkata, ramai yang menghubungi untuk menghulurkan bantuan wang tunai, namun setakat ini dia dan suami membuat keputusan tidak menerima sebarang bantuan kewangan memandangkan kompaun yang dikenakan terhadap mereka belum diputuskan.

"Namun, sudah ramai dalam kalangan pelanggan burger kami yang sudah memasukkan wang kerana mereka adalah pelanggan tetap dan sudah mempunyai akaun bank kami.

"Saya dan suami bersyukur kerana hasil yang tular itu menyebabkan ramai pihak mahu membantu kami termasuk mahu menyediakan khidmat peguam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia yang sudah mengusahakan perniagaan burger sejak 16 tahun lalu itu berkata, dia dan suami sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah pagi hari ini untuk membuat rayuan bagi mendapatkan pengurangan kompaun yang dikenakan.

"Pegawai di Pejabat Kesihatan memaklumkan rayuan kami akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dan sehingga kini saya tidak tahu berapa jumlah kompaun yang perlu dibayar.

"Disebabkan itu saya dan suami tidak mahu mengambil sebarang bantuan kewangan daripada pelbagai pihak, sebelum kami mengetahui jumlah kompaun yang perlu dibayar.

"Apa pun saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlalu prihatin dan sanggup menghubungi kami sehingga lewat malam," katanya.

Norlaili berkata, sekiranya jumlah kompaun dikurangkan kepada RM25,000 sekali pun sudah tentu dia dan suami tidak mampu membayarnya kerana hasil pendapatan mereka selama ini hanya dengan menjual burger.

"Sebelum ini kami berniaga dengan menumpang kedai makan di Tanjung Chat, namun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, kami menutup gerai dan berpindah dengan berniaga di depan rumah.

"Saya mengakui kesalahan berniaga lebih waktu, namun saya juga mahu menjelaskan ketika kejadian tiada pelanggan dan kami juga tidak membuka meja sepanjang PKP. Kami hanya menyiapkan pesanan untuk dihantar kepada pelanggan sahaja," katanya.

Justeru, beliau berharap kompaun dapat dikurangkan seminimum mungkin.

Media semalam melaporkan, seorang peniaga burger meluahkan rasa kecewa apabila dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi had masa yang ditetapkan.

Wan Mohd Faisal yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, di sini, memaklumkan dia didatangi beberapa anggota polis ketika sedang menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam kelmarin.

Berita berkaitan:

  • Kena kompaun RM50,000 berniaga melebihi masa ditetapkan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 12:51 PM