MOHD Azizi Mohd Nor dan Nik Norwati Nik Loh dari Kampung Chekok Tengah dikenakan saman RM50,000 kerana menjual lebih masa. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
MOHD Azizi Mohd Nor dan Nik Norwati Nik Loh dari Kampung Chekok Tengah dikenakan saman RM50,000 kerana menjual lebih masa. FOTO Nor Fazlina Abdul Rahim
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: "Insiden dikenakan kompaun RM50,000 membuatkan kami sekeluarga masih trauma," kata peniaga colek Mohd Azizi Mohd Nor, 42.

Mohd Azizi berkata, susulan itu juga menyebabkan dia sekeluarga tidak membuat sebarang persiapan menyambut Aidilfitri, esok.

"Sehingga ke hari ini, insiden itu masih berlegar-legar di benak fikiran. Siang dan malam saya hanya memikirkan jumlah kompaun yang terpaksa dibayar.

"Ketika ini saya masih menunggu pihak berkuasa menentukan jumlah kompaun yang perlu dibayar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Chekok Tengah, di sini, hari ini.

Terdahulu, ahli perniagaan Datuk Seri Sunny Ung menyantuni keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri bagi meringankan beban yang ditanggung.

Menurutnya, sejak kejadian itu terdapat beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil mahu membantu untuk melunaskan kompaun yang dikenakan.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua masyarakat yang mengambil berat dan prihatin dengan nasib yang menimpa keluarganya.

"Saya dan isteri Nik Norwati Nik Loh, 38, berniaga colek pada bulan Ramadan untuk menampung keluarga, selain menanggung kakak ipar dan tiga anak saudara yang tinggal bersama.

"Pendapatan bekerja di kedai alat ganti kenderaan sekitar RM1,700 sebulan sekadar cukup makan kerana turut perlu membayar sewa rumah RM400 sebulan.

"Pada bulan biasa di sebelah petang, isteri saya menjual mi celup dan masakan panas di hadapan rumah untuk membantu keluarga," katanya

Sementara itu, Sunny Ung berkata, dia terkilan dengan insiden yang menimpa Mohd Azizi kerana tidak sepatutnya berlaku kepada peniaga kecil dan penjaja yang mencari rezeki demi kelangsungan hidup ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pihak yang berwajib sepatutnya lebih peka dan menyelaraskan prosedur operasi standard (SOP) dan undang-udang supaya rakyat tidak keliru," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, peniaga colek itu dikenakan kompaun RM50,000 kerana beroperasi lebih masa pada 26 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 2:21 PM