GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk dalam kalangan petani kecil dan pekebun kecil boleh membuat permohonan Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani yang akan dibuka mulai 28 Mei 2024. 

Pelaksanaan ini susulan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel membabitkan pengguna di Semenanjung Malaysia.

Kementerian Kewangan (MOF) menerusi satu kenyataan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu sementara petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.  

MOF berkata, penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

"Kriteria kelayakan bagi kategori Budi Individu adalah pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun, kenderaan dimiliki juga mempunyai cukai jalan yang aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 dan ke bawah.

"Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20). 

"Manakala kriteria kelayakan bagi Budi Agri-Komoditi terbuka kepada pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi yang berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). 

"Pemohon adalah petani atau pekebun kecil komoditi yang aktif dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000," katanya.

Permohonan awal untuk Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi menjelang pertengahan Jun 2024 dan boleh dibuat melalui budimadani.gov.my yang akan dibuka sepanjang tahun. 

Bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun 2024, pemohon akan menerima Budi Madani pertama mereka menjelang pertengahan Jun 2024 dan bantuan seterusnya akan disalurkan secara bulanan.  

Manakala bagi permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun 2024 akan menerima Budi Madani pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan. 

Budi Madani akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntutnya secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung Malaysia. 

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dengan pelaksanaan Budi Madani, kerajaan sudah memperluas bantuan tunai kepada individu dan petani kecil dan pekebun kecil komoditi menjelang pelaksanaan penyasaran subsidi diesel. 

"Seperti yang sering kali ditekankan Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani, bagi membina kemampanan kewangan kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing. 

"Ikhtiar Budi Madani mencerminkan usaha bersepadu jentera Kerajaan Madani dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi," katanya.

Untuk maklumat lanjut boleh melayari https://budimadani.gov.my atau  menghubungi talian bantuan, 1-800-88-2747/03-88824565 /03-88824566 atau secara e-mel di alamat [email protected].

Tamat

#kw MOF, Budi Madani, Diesel, petani, 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 9:18 PM