GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini berkata ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu susulan kematian penyandangnya Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.

Beliau berkata SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi DUN Sungai Bakap.

"Sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal (5) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR," katanya.

Ikmalrudin berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas itu tamat.

Pada 24 Mei lalu, Nor Zamri, 56, dilaporkan meninggal dunia kira-kira 1.38 tengah hari ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut dan telah menerima rawatan di pusat perubatan itu sejak awal bulan ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:41 PM