PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad. -FOTO NSTP
PENYERANG Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya terus dirundung nasib malang apabila seorang lagi tonggak harapan Syafiq Ahmad terpaksa digugurkan daripada menyertai kem latihan pusat pasukan kebangsaan akibat kecederaan.

Situasi terbabit disahkan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon yang terpaksa memanggil tonggak Kuala Lumpur City (KL City) FC, Zhafri Yahya bagi mengisi kekosongan terbabit.

"Zhafri sebelum ini berada dalam senarai bersedia dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bermula hari ini bagi menghadapi dua perlawanan Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun ini.

"Zhafri, 30, akan menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang tidak dapat menyertai kem latihan pusat kali ini selepas disahkan mengalami kecederaan.

"Semoga Syafiq cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang," katanya.

Perkhabaran itu jelas sekali akan memeningkan jurulatih berasal dari Korea Selatan itu dalam membentuk skuad mantap dalam misi wajib menang untuk Malaysia berpeluang layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad Harimau Malaya boleh dikatakan hilang bisanya berikutan terpaksa menggugurkan semua penjaring gol Piala Asia di Qatar bagi pertemuan membabitkan Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Menerusi senarai nama yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan semua penjaring gol ketika Piala Asia di Qatar membabitkan Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Romel Morales tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Turut terlepas peluang untuk beraksi menentang Kyrgyzstan dan Taiwan adalah tonggak Terengganu FC, Azam Azmi Murad yang turut mengalami kecederaan ketika menentang Oman Mac lalu.

Pan-gon mengekalkan seramai 16 daripada 24 pemain dari skuad bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman pada 21 dan 26 Mac lalu.

Antara pemain baharu yang tersenarai ialah penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Kedah Darul Aman FC), Adib Ra'op (Penang FC), Feroz Baharudin (Johor Darul Ta'zim), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC), Syafiq Ahmad (Kedah Darul Aman FC) dan Engku Shakir Engku Yacob (Terengganu FC).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:17 PM