KHAIRULNIZAM menempah tiket ke Olimpik selepas meraih tempat ketiga di Last Chance Regatta.
KHAIRULNIZAM menempah tiket ke Olimpik selepas meraih tempat ketiga di Last Chance Regatta.
BERNAMA

Petaling Jaya: Jaguh sukan pelayaran negara Khairulnizam Mohd Afendy optimis beliau mampu mencipta kejutan pada penampilan keempatnya di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya pada Julai ini.

Atlet yang menyambut hari kelahiran ke-31 hari ini berkata beliau kini berada di tahap terbaik melihat kepada prestasinya yang positif pada beberapa perlumbaan siri tahun ini selain rankingnya yang kini berada di kedudukan ke-18 dunia.

Khairulnizam berkata tambahan pula dengan latihan persiapan yang akan dijalaninya di Marseille, Perancis pada 1 Jun turut bakal membantunya, sekali gus menjadi tonik tambahan buat atlet kelahiran Kedah itu sebelum beraksi di temasya sukan empat tahun sekali berkenaan.

"Saya berada di tahap terbaik sekarang dengan ranking ke-18 dunia, tak ada atlet pelayaran Malaysia yang pernah masuk ranking 20 terbaik dunia. Insya-Allah, semasa Olimpik saya cuba buat terbaik, mana tahu saya boleh buat kejutan.

"Sebab saya lihat beberapa siri kejohanan tahun ini, saya boleh dapat nombor satu, tiga dan empat di beberapa perlumbaan, tak mustahil Olimpik juga boleh terjadi perkara sama," katanya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Kontinjen (CDM) Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin bersama atlet di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu turut disertai Penyelaras Road to Gold (RTG) Datuk Stuart Ramalingam, badang negara Mohamad Aniq Kasdan, atlet menembak negara Jonathan Wong dan pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir.

Khairulnizam akan berlepas ke Marseille Marina iaitu venue rasmi Olimpik Paris dari 1 hingga 19 Jun ini bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di sana sebelum berentap di saingan Piala Dunia di Kiel, Jerman pada 20 hingga 26 Jun.

Beliau kemudiannya akan pulang semula ke tanah air selama 10 hari sebelum berlepas semula ke Marseille untuk menjalani latihan sehingga Sukan Olimpik Paris 2024 membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

Pemenang dua pingat perak Sukan Asia itu melayakkan diri ke Olimpik secara merit selepas menghuni tempat ketiga dalam kelas Single-Handed Dinghy ILCA 7 pada saingan Last Chance Regatta di Perancis bulan lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 9:22 PM