Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Polis Kelantan sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri berhubung kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga yang beroperasi lebih masa, Ahad lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, menerusi perbincangan itu, Jabatan Kesihatan memaklumkan, pihak kementerian akan mempertimbang kadar kompaun membabitkan tiga peniaga berkenaan sebagaimana dalam garis panduan.

Katanya, bagi kes lain yang dikenakan kompaun membabitkan individu dan premis sebelum ini dinasihatkan supaya membuat rayuan untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis yang ditetapkan.

"Pada perbincangan yang berlangsung semalam, pihak polis akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan peraturan dibawahnya.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun sebagaimana garis panduan," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Justeru itu, Shafien mengingatkan masyarakatdi Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk hentikan rangkaian Covid-19.

Media sebelum ini melaporkan, tiga peniaga dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu kerana menjalankan operasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) di Pengkalan Chepa, membabitkan peniaga burger, colekcolek dan kedai runcit.

Sehingga semalam, dua peniaga sudah membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah untuk mendapatkan pengurangan kompaun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 11:29 AM