AISYAH menjadi atlet wanita pertama negara beraksi dalam acara lebuh raya di Olimpik. -FOTO NSTP
AISYAH menjadi atlet wanita pertama negara beraksi dalam acara lebuh raya di Olimpik. -FOTO NSTP
BERNAMA

Petaling Jaya: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara Nur Aisyah Mohamad Zubir, bertekad untuk menagih ilmu dari atlet berkelas dunia sepanjang tempoh beliau berkampung di Belgium, sebagai persiapan menjelang Sukan Olimpik Paris yang membuka tirainya Julai ini.

Atlet berusia 27 tahun itu berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk menimba pengalaman daripada pelumba hebat negara itu, sepanjang beliau beraksi di 20 perlumbaan yang akan diharungi di Belgium, Perancis dan Belanda kelak.

"Sekurang-kurangnya saya nak belajar sesuatu dari atlet berkelas dunia, kita tahu masing-masing ada kelebihan tersendiri, contohnya macam mana mereka menggunakan kekuatan, dalam perlumbaan macam mana taktik mendaki, kelajuan dan sebagainya.

"Di sana saya sertai perlumbaan juga untuk biasakan diri dengan cuaca dari segi pembukaan jalan dan angin, saya nak tahu semua itu macam mana," katanya pada Majlis Ramah Mesra Ketua Kontinjen (CDM) Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin, bersama atlet di sini hari ini.

Terdahulu, majlis itu turut disertai Penyelaras Road to Gold Datuk Stuart Ramalingam, jaguh pelayaran negara Khairulnizam Mohd Afendy, badang negara Mohamad Aniq Kasdan dan atlet menembak negara Johnathan Wong.

Dalam pada itu, Nur Aisyah berkata beliau perlu bijak 'membawa diri' ketika berada di Belgium dan menghadapi Sukan Olimpik di Paris, memandangkan beliau adalah satu-satunya atlet yang akan mewakili Malaysia bagi acara berbasikal lebuh raya wanita.

"Ini pertama kali saya berlumba seorang diri, ada negara yang bawa sampai enam pelumba, jadi saya perlu pandai bawa diri. Sasaran mesti nak habiskan perlumbaan, bergantung kepada perlumbaan keadaan diri saya," katanya.

Nur Aisyah akan berlepas ke Belgium pada esok bersama jurulatihnya Amir Mustafa Rosli dan akan terus berkelana di sana sehingga Sukan Olimpik Paris yang berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 9:19 PM