DATUK Sumali Reduan. -FOTO Bernama
DATUK Sumali Reduan. -FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Sumali Reduan menyifatkan sokongan padu rakyat membolehkan mereka menganjurkan kejohanan berprestij Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada tahap terbaik.

Menurutnya, kejuaraan itu memberikan peluang kepada PSM melaksanakan tanggungjawab sebagai tuan rumah sekali gus menguruskan penganjuran bertaraf dunia.

"Sebagai badan induk sepak takraw negara, penganjuran kejohanan kali ini mendapat sokongan dan menarik minat rakyat Malaysia.

"Selain penyokong yang memenuhi stadium sepanjang kejohanan, siaran langsung secara penstriman (live streaming) mencecah angka jutaan tontonan.

"Begitu juga siaran melalui layar gergasi yang dibuat di seluruh negara memperlihatkan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada sukan sepak takraw.

"Ia memberikan keyakinan sukan sepak takraw mempunyai dukungan besar untuk terus dikembangkan. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya yang berharap agar sokongan ini dapat diteruskan pada masa depan," katanya.

Dalam pada itu, Sumali yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, amat menghargai sokongan rakyat Malaysia terhadap pasukan sepak takraw negara.

"PSM komited untuk melakukan usaha-usaha pembangunan sukan sepak takraw termasuk mencungkil bakat baharu agar sepak takraw menjadi sukan yang meletakkan Malaysia dalam peta sukan dunia.

Berdasarkan prestasi pemain-pemain dan sokongan besar yang diperlihatkan rakyat seluruh negara, PSM akan terus berusaha untuk membangunkan sukan sepak takraw di negara ini agar kegemilangan sukan tradisi Malaysia ini akan menjadi salah satu acara sukan yang dapat dibanggakan di pentas antarabangsa," ujarnya.

Sebagai rekod, Kuala Lumpur 2024 melabuhkan tirai dan menyaksikan Thailand mengungguli kategori berpasukan manakala Malaysia mendominasi dua lagi acara iaitu regu dan double kali ini.

Sumali berkata, pencapaian dalam acara double adalah sesuatu di luar jangkaan apabila Malaysia menjuarai buat pertama kali sejak diperkenalkan 17 tahun lalu.

"Begitu juga dalam acara regu, Malaysia mengakhiri kemarau 13 tahun menjadi juara.

"Bagi acara berpasukan pula regu Malaysia yang menampilkan semangat juang tinggi terpaksa akur bergelar naib juara selepas tewas kepada Thailand," katanya.

Sumali juga berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang memberikan sokongan dan peruntukan Geran Padanan Sukan bagi menjayakan Kuala Lumpur 2024.

"PSM juga berterima kasih kepada Istaf (Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa) yang memberi sokongan dan kepercayaan kepada PSM menjadi tuan rumah serta komitmen 20 negara lain dalam menjayakan kejohanan kali ini.

"Terima kasih juga kepada semua penaja-penaja, sokongan serta sumbangan penaja-penaja juga adalah perkara yang cukup penting bagi merealisasikan dan menjayakan kejohanan ini. Terima kasih juga kepada rakan-rakan media dan semua pihak menjadikan kejuaraan dianjurkan mencapai matlamat dan standard antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 7:26 PM