PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada acara kemuncak sambutan Hawana 2024, hari ini.  FOTO Bernama
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada acara kemuncak sambutan Hawana 2024, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuching: Pengumuman mengenai sumbangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada semua petugas media sambilan selama setahun bermula Julai ini adalah khabar gembira yang memang amat dinantikan ramai dalam kalangan mereka sejak sekian lama.

Ini kerana golongan ini juga sering terdedah kepada pelbagai risiko ketika melaksanakan tugasan.

Di Kedah, Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK) Adie Suri Zulkeflli berkata langkah itu membuktikan keprihatinan kerajaan MADANI, khususnya Kementerian Komunikasi terhadap kebajikan para petugas media sambilan yang berkhidmat dengan pelbagai agensi media kerajaan dan swasta.

"Pengumuman ini adalah bertepatan dengan pendekatan yang telah dilaksanakan KMEK untuk menaja caruman Perkeso bagi para ahli berstatus sambilan sejak beberapa tahun lepas.

Justeru katanya KMEK amat berterima kasih kepada kerajaan dan pihak kementerian atas keprihatinan dalam memberikan pelindungan Perkeso kepada petugas media sambilan yang sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko dalam menjalankan tugasan di lapangan.

Terdahulu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil ketika mengumumkan khabar gembira itu pada majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 berkata Kementerian Komunikasi melalui Bernama akan menampung sepenuhnya caruman berkenaan.

Di Johor, wartawan sambilan Bernama Nur Fatin Mohmad Kadenen, 30, berkata berita caruman Perkeso buat wartawan sambilan sememangnya dinanti-nantikan oleh pengamal media sambilan atau 'stringer' selama ini.

"Saya berasa bersyukur dan gembira kerana pelan perlindungan amat penting memandangkan tugasan kami di lokasi berbeza setiap hari, sekurang-kurangnya dilindungi sekiranya berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Jurukamera sambilan Utusan Malaysia, Raja Jaafar Raja Ali, 60, yang telah berkhidmat sejak 2020 pula berkata inisiatif itu selaras dengan usaha Kelab Media Johor (KMJ) yang telah melaksanakan pelan perlindungan kepada stringer negeri itu, sejak dua tahun lepas.

Sementara itu di Terengganu, jurukamera sambilan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu, Raja Gadafi Raja Mat, 42, berkata inisiatif itu semestinya melegakan pengamal media sambilan yang ketika ini tidak mempunyai sebarang perlindungan insurans ketika melaksanakan tugasan.

Raja Gadafi berkata tugasnya memerlukan beliau berada di luar untuk membuat liputan, sekali gus terdedah kepada risiko keselamatan sama ada di jalan raya, di hutan atau di lokasi lain yang berbahaya.

"Saya mempunyai enam anak yang berusia empat hingga 15 tahun. Empat daripadanya masih bersekolah. Alhamdulillah, dengan adanya inisiatif oleh kerajaan ini dapatlah melindungi keluarga sekiranya berlaku sebarang musibah pada saya," katanya yang turut bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Sementara itu pemberita sambilan Utusan Malaysia Kamaliza Kamaruddin, 43, berkata inisiatif itu menunjukkan keprihatinan kerajaan Madani terhadap golongan media yang sentiasa bertugas menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.

Di Perak, wartawan sambilan Berita Harian Muhammad Zulsyamini Sufian Suri, 32, berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan itu mungkin satu permulaan kepada perkara berkaitan lain-lain kebajikan untuk wartawan sambilan seperti memudahkan golongan itu membuat pinjaman untuk pembelian rumah atau kereta.

"Caruman Perkeso ini sudah semestinya menjaga kebajikan wartawan sambilan kerana ketika ini sudah begitu banyak agensi media menggunakan khidmat wartawan sambilan," katanya yang mulai berkhidmat sejak lapan tahun lepas.

Sementara itu pengamal media di Perlis turut menyifatkan pengumuman itu sebagai keprihatinan kerajaan kepada pengamal media sambilan di seluruh Malaysia.

Wartawan sambilan Berita Harian/Metro Perlis, Mohd Aizat Sharif Fisalluddin, 40, berkata tugas pengamal media yang tidak diduga tempat dan masa, di samping sangat berisiko, oleh itu caruman berkenaan amat membantu sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 8:48 PM