PAN-GON bersama Akhyar Rashid yang sebelum ini mengalami kecederaan akibat disamun dua lelaki berjaket hoodie. -FOTO FAM
PAN-GON bersama Akhyar Rashid yang sebelum ini mengalami kecederaan akibat disamun dua lelaki berjaket hoodie. -FOTO FAM
Syazwan Msar


Kelana Jaya: Perasan sebak dan sedih dapat jelas dirasai Pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon mengenangkan kembali kesengsaraan yang dihadapi ayam tambatannya Faisal Halim selepas menjadi mangsa simbahan asid hingga melecur tahap empat baru-baru ini.

Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata, beliau tidak sanggup melihat keadaan Faisal yang cedera teruk di beberapa bahagian anggota badannya hingga terpaksa menjalani empat pembedahan untuk kembali pulih.

"Kejadian itu adalah satu perkara yang sukar untuk dilupakan. Melihat dia (Faisal) dalam kesakitan seperti itu tidak sanggup untuk saya melihat. Tidak terungkap dengan kata-kata untuk apa yang ditanggung Faisal.

"Bola sepak sepatutnya menjadi sukan yang selamat. Ia harus diwarnai dengan kegembiraan dan persahabatan namun bukan keganasan. Kita perlu melindungi pemain daripada bahaya," katanya, ketika ditemui pada hari pertama sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebentar tadi.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan insiden membabitkan pemain kebangsaan itu yang cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Kejadian itu, menyebabkan Faisal cedera di beberapa bahagian badan termasuk mukanya dan kini dirawat di sebuah hospital di Shah Alam.

Selepas lebih dua minggu menerima rawatan di hospital, Faisal akhirnya dibenarkan pulang ke kediamannya Sabtu lalu.

Sementara itu, Pan-gon berkata, kehilangan beberapa tonggak utama seperti Faisal dan Arif Aiman Hanapi bukanlah bermakna skuad kebangsaan akan menyerah kalah pada dua baki perlawanan kumpulan D , Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun dan Taiwan pada 11 Jun ini.

"Kita akan terus berjuang untuk memastikan skuad Harimau Malaya memperoleh keputusan positif pada perlawanan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mei 2024 @ 9:06 PM