DATUK Dr Zaini Hussin. FOTO Arkib NSTP.
DATUK Dr Zaini Hussin. FOTO Arkib NSTP.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Keputusan rayuan kompaun membabitkan nilai RM50,000 yang dibuat dua peniaga mungkin diketahui lebih awal, berbanding kebiasaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, setakat ini pihaknya menerima dua rayuan daripada peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000.

"Kita dalam proses menghantar rayuan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

"Pihak kementerian akan meneliti fakta kes ini dan memerlukan masa untuk semakan. Mungkin keputusan diterima lebih awal," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, peniaga colek, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 itu berkata, setakat ini dia belum dipanggil oleh pihak polis untuk tawaran nilai kompaun.

"Saya memang tahu polis akan panggil, namun sehingga kini saya belum dihubungi," katanya.

Media semalam melaporkan, KKM meminta peniaga burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang dikenakan kompaun RM50,000 untuk segera mengemukakan rayuan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dilapor berkata, pihaknya melihat kes itu sebagai satu kes khusus dan perlu ditangani dengan segera.

Beliau dipetik berkata, pihaknya amat prihatin dan memandang serius terhadap kes yang mendapat perhatian dan simpati ramai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 3:41 PM