BERNAMA

Putrajaya: Fasa kedua tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca secara sukarela khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas akan dibuka tiga hari bermula 23 Mei ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata, pendaftaran janji temu membabitkan 1.1 juta dos vaksin itu diperluaskan untuk penduduk Lembah Klang, Johor, Sarawak dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, slot tempahan boleh dibuat di laman web rasmi manakala Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga akan melakukan pendaftaran warga emas di kawasan masing-masing.

Selain warga emas, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Invosi, berkata fasa, kedua itu juga akan memberi keutamaan kepada kira-kira 250,000 individu yang berada dalam senarai menunggu fasa pertama vaksin AstraZeneca yang dibuka 2 Mei lalu.

"Selepas 26 Mei, tawaran akan dibuka kepada mereka yang berusia di bawah 60 tahun," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang diadakan secara maya hari ini.

PENDAFTARAN secara atas talian tempahan untuk mendapatkan suntikan vaksin Astrazeneca. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENDAFTARAN secara atas talian tempahan untuk mendapatkan suntikan vaksin Astrazeneca. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Ditanya sama ada Sarawak bersetuju menggunakan vaksin AstraZeneca, Khairy berkata, negeri itu sudah bersetuju dan pihaknya akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengenai kaedah pelaksanaan vaksinasi di negeri itu.

Katanya, pihaknya akan membuka tawaran secara dalam talian minggu depan kepada orang ramai seperti pelajar ke luar negara untuk memendekkan jarak antara pengambilan dua dos vaksin AstraZeneca.

Menurutnya, Malaysia menetapkan jarak antara kedua-dua dos itu selama 12 minggu selari dengan kelulusan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan amalan negara lain seperti Australia, Belanda, Finland dan Portugal.

Syor kumpulan pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah antara lapan hingga 12 minggu.

Berhubung laporan media bahawa Indonesia menghentikan penggunaan satu kumpulan vaksin AstraZeneca ekoran berlaku kes kematian, Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mendapati tiada kesan sampingan serius berlaku di Malaysia.

Malaysia akan meneruskan pemberian vaksin itu, katanya.

Media antarabangsa melaporkan Indonesia menghentikan sementara penggunaan kumpulan CTMAV547 vaksin AstraZeneca susulan kematian seorang lelaki berusia 22 tahun di Jakarta sehari selepas vaksinasi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:06 PM