VAKSIN AstraZeneca. FOTO AFP
VAKSIN AstraZeneca. FOTO AFP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Tempahan slot vaksin AstraZeneca (AZ) akan dibuka bermula 12 tengah hari esok kepada sesiapa yang ingin mengambil vaksin jenis berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pendaftaran terbuka kepada mereka yang sudah mendaftar untuk vaksinasi sebelum ini.

"Seperti yang diumumkan sebelum ini, JKJAV (Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19) menawarkan pilihan secara sukarela kepada orang ramai yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca.

"Tempahan slot boleh dibuat mulai 12 tengah hari esok, bersamaan 2 Mei melalui vaksincovid.gov.my. Anda mestilah sudah berdaftar (sebagai penerima vaksin) dan hanya perlu memilih Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta tarikh yang tertera," katanya menerusi Twitter, hari ini.

Menurutnya, selepas memilih PPV dan tarikh, pendaftar akan dimaklumkan mengenai slot vaksinasi menerusi MySejahtera atau SMS.

PPV yang terbabit untuk pemberian vaksin AZ adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dan Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

"Ini adalah satu-satunya cara untuk menempah slot vaksin AZ. Berita atau khabar angin kononnya segelintir hospital mengambil tempohan slot vaksin AZ adalah tidak benar.

"Pemberian imunisasi AstraZeneca bermula Rabu, 5 Mei ini," katanya.

Khairy turut memuat naik poster memaklumkan beberapa syarat kelayakan membuat tempahan untuk menerima vaksin AstraZeneca, yang ditawarkan secara 'siapa cepat, dia dapat'.

Mereka yang mahu mendapatkan vaksin AstraZeneca perlulah berusia 18 tahun ke atas dan hanya ditawarkan kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur.

Selain sudah berdaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Sementara itu, Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Sri Dr Adham Baba menerusi Twitternya hari ini memaklumkan, jumlah pemberian dos vaksin Covid-19 setakat 30 April 2021 sudah berjumlah 1,448,066 dos.

"Jumlah terima dos pertama adalah seramai 895,204 orang. Daripada jumlah ini, 552,862 orang sudah menerima dos kedua," katanya.

Manakala jumlah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin di MySejahtera pula setakat ini sudah mencecah seramai 9,424,263 orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:23 PM