GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Rakyat Selangor menjadi penerima dos vaksin Covid-19 terbanyak dengan sejumlah 2.3 juta dos sudah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sejumlah 12.02 peratus rakyat negeri ini sudah lengkap dua dos.

Katanya, tambahan kepada PICK iaitu Program Vaksin Selangor (SelVAX) pula mencatat pemberian sebanyak 57,339 dos sehingga semalam.

"Alhamdulillah, kadar vaksinasi harian semalam mencecah 114,416 dos, tidak termasuk dengan Program SelVAX yang sedang giat diperluaskan dan sudah mencecah pemberian hampir 58,000 dos.

"Kadar vaksinasi ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa," tulisnya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Menerusi ciapan itu, beliau turut memaklumkan bahawa peratus penggunaan vaksin di Selangor adalah 78 peratus berdasarkan bekalan yang diterima dari Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Persekutuan.

Katanya, baki vaksin berjumlah 618,000 dos sudah diberi temujanji untuk tempoh tujuh hari mengambil kira jumlah vaksinasi harian kini mencecah 115,000.

"Kerajaan Negeri akan terus mempertingkatkan pemberian vaksin sebagai salah satu langkah utama untuk kita menewaskan wabak Covid-19," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melancarkan SelVAX sebagai usaha bagi mempercepatkan proses vaksinasi rakyat dengan mengenal pasti kumpulan sasaran (SelVAX Komuniti) serta memelihara pekerja (SelVAX Industri).

Amirudin berkata, SelVAX Komuniti akan memberi manfaat kepada 250,000 warga Selangor yang belum divaksin, manakala SelVAX Industri adalah program berbayar yang terbuka kepada syarikat secara sukarela dengan sasaran satu juta pekerja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 12:09 PM